Lelaki Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga asing

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warganegara Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya berhampiran sebuah kilang di Taman Universiti, di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Maung Aye Tun, 38, tidak faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Melayu di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang lelaki Myanmar, Aung Than Soe.

Perbuatan itu dilakukan di tingkat bawah sebuah kilang di Jalan Perdagangan 3, Taman Universiti, Skudai antara pukul 11.30 hingga 11.45 malam pada 27 Jun lalu

Pendakwaan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah memerintahkan lantikan jurubahasa Myanmar dan kes disebut semula pada 4 Ogos ini.

Terdahulu, portal ini melaporkan seorang lelaki warga asing ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di Taman Universiti pukul 2.27 pagi, pada 28 Jun lalu.

Mangsa berusia 33 tahun itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi menerima rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 4 Julai lalu.

Laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan punca kematian mangsa adalah blunt trauma to the head dan pihak polis mengklasifikasikan semula siasatan kes tersebut bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Susulan itu, seramai 11 individu telah ditahan termasuk lapan warga asing berusia 26 hingga 41 tahun sekitar kawasan Skudai, Taman Bukit Indah dan Iskandar Puteri selain di Ayer Keroh, Melaka dan Ampang, Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast