Foto: Kan Kutirat/AFP

BANGKOK – Mangsa kebakaran maut di sebuah bar di daerah Lat Phrao meninggal dunia akibat hidu gas beracun dan bukannya terbakar, kata Polis Diraja Thailand pada Khamis.

“Tiada mangsa yang meninggal dunia secara langsung akibat api. Mereka maut akibat sesak nafas selepas hidu gas beracun. Karbon monoksida dan sianida dikesan dalam tubuh mereka,” kata Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Leftenan Jeneral Polis Sayam Boonsom kepada pemberita.

Penyedutan karbon monoksida dan sianida menghalang tisu badan daripada menyerap oksigen dan boleh menyebabkan kematian dalam tempoh beberapa minit.

Sayam berkata pegawai forensik telah selesai menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, manakala siasatan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada kemungkinan berpunca daripada kerosakan elektrik serta pelanggaran aspek keselamatan, termasuk pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran dan laluan keluar kecemasan yang dihalang.

Beliau berkata setakat ini tiada pertuduhan difailkan, namun polis sedang bersiap sedia mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan, termasuk menyebabkan kematian dan kecederaan akibat kecuaian, menjalankan pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran serta menyebabkan kebakaran akibat kecuaian.

Polis turut menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang yang mengawal selia premis hiburan, termasuk sama ada premis itu beroperasi di luar skop lesen yang diberikan.

Menurut beliau, setakat ini penyiasat telah merakamkan keterangan lebih 106 saksi.

Kebakaran yang berlaku di premis hiburan itu sejurus selepas tengah malam Isnin mengorbankan 33 orang dan mencederakan lebih 70 yang lain.

Sehingga Khamis, seramai 14 mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 44 lagi telah dibenarkan keluar dari hospital. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast