KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempelawa semua pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan draf pelan bagi pelaksanaan inisiatif Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM).

Menurut MCMC, inisiatif SALAM akan membangunkan sistem kabel dasar laut baharu yang menghubungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak sekali gus mewujudkan rangkaian sambungan domestik yang lebih kukuh serta pelbagai dari segi laluan.

Katanya, projek itu turut meningkatkan kapasiti rangkaian dan kepelbagaian laluan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan serta mengurangkan risiko gangguan komunikasi di seluruh negara.

Ia merupakan projek strategik di bawah rangka kerja Perkhidmatan Sejagat (USP) yang bertujuan memperkukuh infrastruktur digital domestik negara.

“Memandangkan sistem kabel dasar laut menjadi tulang belakang komunikasi digital moden dengan membawa sebahagian besar trafik data domestik dan antarabangsa, pengukuhan infrastruktur kritikal ini amat penting bagi menjamin komunikasi yang selamat, stabil dan tanpa gangguan kepada sektor perniagaan, kerajaan serta rakyat,” menurut kenyataan hari ini.

MCMC berkata, sistem SALAM merangkumi 10 Stesen Pendaratan Kabel (Cable Landing Stations) yang dihubungkan melalui empat segmen kabel dasar laut dengan anggaran panjang keseluruhan kira-kira 5,582 kilometer.

Katanya, rangkaian itu akan menyediakan laluan sambungan yang lebih pelbagai dari segi geografi bagi meningkatkan keupayaan sandaran rangkaian serta memperkukuh ketahanan keseluruhan sistem komunikasi negara.

Selain mempertingkatkan hubungan antara wilayah, SALAM dijangka menjadi tulang belakang sambungan domestik yang menyokong peluasan perkhidmatan jalur lebar dan rangkaian 5G, di samping memacu pembangunan infrastruktur awan, pusat data, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan industri digital baharu.

Inisiatif itu juga dijangka memperkukuh ekonomi digital negara, agenda keterangkuman digital serta daya tahan Malaysia untuk jangka panjang.

Sehubungan itu, selaras dengan Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Perkhidmatan Sejagat) 2002, MCMC menjemput semua pemegang lesen yang layak untuk mengemukakan Pendaftaran Minat berserta Draf Pelan Perkhidmatan Sejagat bagi tujuan penilaian. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast