Asna Amin

SEREMBAN – Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin bertekad meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan yang telah dilaksanakan di kawasan itu sekiranya diberi mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mohd Asna yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkata, pencalonannya mewakili Barisan Nasional (BN) membawa amanah besar untuk memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat diteruskan demi manfaat seluruh rakyat Lenggeng.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat, keutamaan bukan sekadar menawarkan janji baharu, sebaliknya memastikan pembangunan, pendidikan, kebajikan serta keperluan masyarakat terus diperkasakan.

“Amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu tanggungjawab besar untuk saya terus berkhidmat kepada seluruh rakyat DUN Lenggeng tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Insya-Allah, saya akan meneruskan usaha yang telah dimulakan, mendengar setiap permasalahan rakyat serta berusaha membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan demi kesejahteraan seluruh warga Lenggeng,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pembangunan sesebuah kawasan perlu dilaksanakan secara berterusan supaya setiap perancangan yang telah dirangka dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, antara fokus yang akan terus diberikan perhatian ialah pembangunan pendidikan, modal insan, kebajikan masyarakat serta usaha meningkatkan kualiti hidup penduduk di Lenggeng.

Mohd Asna turut menyeru semua calon yang bertanding pada PRN kali ini supaya menjadikan tempoh berkempen sebagai platform untuk mendekati rakyat, bukannya dipenuhi retorik politik atau serangan terhadap pihak lawan.

“Gunakan pentas PRN ini untuk mendekati pengundi, mendengar suara mereka dan memberi peluang kepada rakyat mengenali calon yang menawarkan diri untuk berkhidmat.

“Jangan terlalu banyak retorik atau menyerang pihak lain. Akhirnya rakyatlah yang akan membuat keputusan. Undi mereka adalah amanah dan harapan yang perlu dihormati oleh setiap calon,” ujarnya.

Beliau berkata, kempen yang matang dan berhemah akan membantu rakyat membuat penilaian berdasarkan kemampuan serta perancangan yang dibawa setiap calon, sekaligus memperkukuhkan amalan demokrasi yang sihat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast