KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor berpunca daripada sokongan dan ‘pemberian’ undi penyokong Pas masih belum dapat dibuktikan secara sahih.
Felo Majlis Profesor Negara, Dr Azmi Hassan berpendapat, realiti mengenai pemindahan undi daripada parti Islam itu kepada BN sebenarnya masih menjadi tanda tanya.
“Kenyataan terbuka Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu ceramah berskala besar menjelang hari pengundian, yang secara jelas mengarahkan penyokong parti itu memberikan undi kepada BN di kawasan yang tidak ditandingi oleh Perikatan Nasional (PN).
“Memang betul BN mengucapkan terima kasih (atas sokongan itu), tidak ada masalah tetapi hakikatnya sehingga ke hari ini, pemindahan undi itu belum dapat dibuktikan lagi secara sahih.
“Apabila Tuan Guru (Abdul Hadi) menyatakan demikian, adakah benar-benar wujud pemindahan undi daripada penyokong Pas kepada BN di kerusi yang Perikatan Nasional (PN) tidak bertanding? Itu yang belum terbukti,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Skop MG bertajuk ‘Dari Johor ke Negeri Sembilan: Membaca Isyarat Pengundi’.

Program tersebut turut menampilkan Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar sebagai panelis bersama.
Azmi turut berkata, tindakan Pas itu sebagai satu langkah politik yang sangat matang dan bijak untuk membina persepsi, meskipun tidak meletakkan calon bertanding.
“Pandangan tokoh politik, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini yang mengakui strategi yang diatur oleh Pas berjaya meletakkan parti itu dalam kedudukan yang penting.
“Dari segi politiknya ia sangat bijak. Walaupun Pas tidak menang satu kerusi pun, mereka berjaya menggambarkan seolah-olah kemenangan BN itu adalah disebabkan oleh sumbangan dan sokongan daripada Pas,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perbandingan kesan sokongan itu, Azmi mengambil contoh senario yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini.
“Kemenangan calon BN daripada MIC di DUN tersebut dengan majoriti sekitar 1,000 undi adalah jelas dibantu oleh kehadiran Parti Bersama yang meraih 1,700 undi.
“Kesan itu boleh dilihat dengan nyata, berbeza dengan dakwaan pemindahan undi Pas,” tambahnya.
Sementara itu, Azmi melihat wujud anjakan corak hubungan politik yang lebih jelas dan ‘tersurat’ apabila beralih ke lanskap politik di Negeri Sembilan.
“Di Johor dahulu, gambar perjumpaan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Tuan Guru Presiden Pas tiada atau mungkin mereka memang tidak berjumpa.
“Tetapi situasi di Negeri Sembilan berbeza kerana di sana ada gambar perjumpaan yang melibatkan pemimpin utama. Jadi inilah yang dikatakan, apakah percaturan seterusnya antara Pas dan BN selepas ini?
“Ia sesuatu yang amat menarik untuk diperhatikan,” katanya. MalaysiaGazette
















