Pengundi hadir menunaikan tanggungjawab pada Hari Pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di SK Bukit Naning, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2026.

Oleh: Prof Madya Dr. Ahmad Aizuddin Md Rami

PERKEMBANGAN landskap politik Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini
memperlihatkan perubahan yang semakin ketara dalam corak pemikiran pengundi,
khususnya golongan muda. Mereka kini dilihat lebih cenderung menilai kepimpinan
berdasarkan prestasi, keupayaan mentadbir dan keberkesanan pelaksanaan dasar,
berbanding hanya bergantung kepada retorik politik atau janji yang dikemukakan sepanjang kempen pilihan raya.

Golongan muda hari ini membesar dalam era digital yang membolehkan akses kepada
pelbagai sumber maklumat berlaku dengan pantas. Setiap kenyataan pemimpin,
pelaksanaan dasar, pencapaian kerajaan serta isu berkaitan pentadbiran dapat diperoleh

dan dibandingkan dalam tempoh yang singkat. Keadaan ini mendorong mereka menjadi
lebih kritikal, analitikal dan berhati-hati dalam membuat penilaian terhadap sesuatu isu.

Manifesto masih memainkan peranan sebagai dokumen yang menggambarkan hala tuju
sesebuah parti atau kerajaan. Namun, dalam persekitaran politik yang semakin matang,
kepercayaan masyarakat lebih banyak dibina melalui keupayaan menterjemahkan komitmen kepada dasar yang berkesan, penyampaian perkhidmatan yang cekap serta hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Perubahan ini mencerminkan evolusi budaya politik yang semakin menekankan aspek
prestasi. Dalam keadaan ekonomi yang sentiasa berubah, kos sara hidup yang menjadi
perhatian masyarakat serta persaingan mendapatkan pekerjaan berkualiti, rakyat secara
umumnya mengharapkan penyelesaian yang praktikal dan dasar yang mampu memberikan impak kepada kehidupan seharian.

Pengalaman melalui pelbagai perubahan dalam landskap politik negara turut memberi
peluang kepada rakyat untuk menilai pelbagai pendekatan pentadbiran dan pelaksanaan
dasar. Pengalaman tersebut secara tidak langsung meningkatkan kefahaman masyarakat
terhadap proses demokrasi serta kepentingan tadbir urus yang baik dalam memastikan
kesejahteraan negara.

Bagi generasi muda yang mula menyertai proses demokrasi selepas pelaksanaan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik, mereka memasuki sistem demokrasi dalam suasana yang lebih terbuka serta dinamik. Pendedahan kepada pelbagai sumber maklumat membolehkan mereka membuat penilaian berdasarkan pemerhatian terhadap pelaksanaan dasar, keberkesanan pentadbiran dan impak sesuatu keputusan kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, prestasi semakin menjadi antara faktor penting dalam penilaian terhadap kepimpinan. Keupayaan menyelesaikan masalah, membuat keputusan secara berkesan, mengurus sumber awam dengan berintegriti serta memastikan pembangunan yang inklusif merupakan antara aspek yang sering diberi perhatian oleh masyarakat. Kepimpinan yang berkesan akhirnya lebih banyak diukur melalui hasil yang dicapai dan manfaat yang dapat dirasai oleh rakyat.

Perkembangan ini selaras dengan teori retrospective voting, iaitu kecenderungan pengundi membuat penilaian berdasarkan pengalaman mereka terhadap prestasi pentadbiran terdahulu. Melalui perspektif ini, pilihan raya menjadi mekanisme demokrasi yang membolehkan rakyat menilai keberkesanan kepimpinan sebelum menentukan sokongan pada masa hadapan.

Selain itu, konsep democratic accountability turut menjadi semakin signifikan dalam sistem demokrasi moden. Pilihan raya bukan sahaja berfungsi sebagai proses memilih wakil rakyat, malah menjadi mekanisme untuk memastikan setiap kerajaan sentiasa bertanggungjawab terhadap dasar, keputusan dan tindakan yang diambil sepanjang tempoh pentadbiran.

Dalam masa yang sama, kestabilan politik terus menjadi antara faktor yang diberi perhatian oleh masyarakat. Persekitaran politik yang stabil dapat membantu meningkatkan keyakinan pelabur, menyokong pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kestabilan perlu disertai dengan tadbir urus yang baik, integriti dan keupayaan melaksanakan dasar secara berkesan.

Walau bagaimanapun, setiap mandat yang diberikan oleh rakyat hadir bersama
tanggungjawab yang besar. Kepercayaan masyarakat perlu dipelihara melalui tadbir urus
yang cekap, dasar yang responsif, ketelusan dalam membuat keputusan serta kesediaan
mendengar pandangan pelbagai pihak. Dalam demokrasi yang semakin matang, sokongan rakyat bukanlah sesuatu yang kekal, sebaliknya dipengaruhi oleh prestasi dan keupayaan memenuhi harapan masyarakat.

Perkembangan ini juga memberikan isyarat bahawa persaingan politik pada masa hadapan dijangka semakin dipengaruhi oleh rekod pencapaian, keupayaan menyelesaikan isu masyarakat, kualiti kepimpinan serta keberkesanan pelaksanaan dasar. Pendekatan
tersebut berpotensi mengukuhkan amalan demokrasi yang lebih berasaskan prestasi dan
akauntabiliti.

Secara keseluruhannya, perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya dalam kalangan
generasi muda, mencerminkan kematangan demokrasi yang semakin berkembang.
Penilaian terhadap kepimpinan kini dilihat semakin berpandukan prestasi, integriti dan
keberkesanan pentadbiran. Perkembangan ini berpotensi menggalakkan budaya politik
yang lebih bertanggungjawab, berorientasikan hasil serta memberi tumpuan kepada
kepentingan masyarakat secara menyeluruh.

Penulis adalah Penyelidik Advokasi  Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) dan Pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast