Soraya dijatuhkan hukuman denda RM130,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam selepas mengaku salah atas kesalahan penyelewengan diesel.

JOHOR BAHRU – Seorang pengusaha stesen minyak dijatuhkan hukuman denda RM130,000 di Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas mengaku salah atas kesalahan penyelewengan diesel, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Soraya Tamyes mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Soraya yang berusia 40 tahun kemudian membayar denda tersebut pada hari yang sama.

Mengikut kertas pertuduhan, Soraya didakwa gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan melalui surat bertarikh 17 Jun 2020 berhubung larangan dan kawalan penjualan petrol dan diesel oleh pemegang lesen runcit bagi pengusaha stesen minyak.

Stesen minyak miliknya didapati menjual diesel secara berulang kali melebihi had ditetapkan kepada sebuah bas berpendaftaran asing.

Kesalahan berkenaan yang melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak dalam mukim Tebrau di sini pada 19 Mei 2023.

Berikutan itu, Soraya didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nor Ikhlas Raja Ariff manakala tertuduh diwakili peguam dari Saleem Shaik Adam & Co.

Sementara itu, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejayaan pendakwaan tersebut membuktikan komitmen berterusan pihaknya dalam membanteras penyelewengan barang kawalan bagi memastikan kepentingan pengguna serta kestabilan bekalan negara terus terpelihara.

“Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan penyelewengan bahan api melalui saluran rasmi KPDN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aduan boleh dilbuat melalui Whatsapp 019-848 8000; Portal e-Aduan KPDN iaitu [email protected];  call centre 1–800–886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast