MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka hari ini mengesahkan kelima-lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi mewujudkan jawatan ADUN lantikan.
Keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat kepimpinan PH Melaka bersama lima ADUN gabungan tersebut yang diadakan petang tadi.
Keputusan itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari; Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim; Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong dan Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.
Dalam kenyataan bersama itu, PH Melaka memaklumkan penarikan diri itu dibuat selaras dengan prinsip demokrasi memandangkan wakil rakyatnya tidak lagi menyokong usul yang dibawa kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Penarikan diri daripada Kerajaan Negeri ini adalah selaras dengan prinsip dan amalan demokrasi bahawa apabila seseorang Exco atau ADUN daripada kerajaan negeri tidak lagi menyokong sesuatu usul oleh kerajaan negeri di dalam DUN, adalah tidak layak lagi menikmati keistimewaan dan kemudahan kerajaan negeri.
“Walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan negeri, kelima-lima ADUN PH akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menggandakan usaha memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik sehingga tamat penggal,” menurut kenyataan itu.
PH Melaka turut memutuskan semua Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daripada gabungan itu akan melepaskan jawatan masing-masing berkuat kuasa 31 Julai ini bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
“Tempoh yang diberi adalah bagi tujuan kelancaran transisi,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, PH Melaka merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kerajaan negeri serta penjawat awam atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh mereka menjadi sebahagian daripada pentadbiran negeri. – MalaysiaGazette
















