KUALA LUMPUR – Tindakan Setiausaha Agung Pemuda MCA Kebangsaan, Saw Yee Fung yang mempersoalkan kemungkinan kerjasama antara UMNO dan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Pas disifatkan sebagai sikap sombong serta terlalu yakin sehingga mengetepikan peranan sokongan pengundi gabungan itu.
Penyelaras PN Parlimen Taiping, Maizatulazwa Abdul Rahim berkata, kemenangan yang diraih mana-mana parti dalam pilihan raya bukan hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk penyokong parti lain.
Beliau berkata, pemimpin politik tidak seharusnya mudah lupa terhadap jasa dan pengorbanan penyokong yang membantu memastikan kemenangan calon tertentu, termasuk calon MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
“Jangan kerana berjaya memenangi beberapa kerusi sudah mula berasa meninggi diri dan lupa akan jasa penyokong Perikatan Nasional yang keluar beramai-ramai memberikan sokongan dan undi termasuk kepada calon MCA sehingga Barisan Nasional menang besar di Johor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Yee Fung mempersoalkan sama ada kepimpinan MCA bersetuju dengan kerjasama BN-Pas dan menyatakan kebimbangan terhadap pendirian parti sekiranya kerjasama itu diteruskan.
Mengulas perkara itu, Maizatulazwa berkata, keutamaan ketika ini bukanlah mempertikaikan kerjasama politik semata-mata, sebaliknya memastikan semua pihak kembali kepada perjuangan membela kepentingan rakyat.
Menurutnya, rakyat mahukan kestabilan politik dan penyatuan antara parti-parti besar bagi memastikan negara terus maju serta tidak terperangkap dalam politik permusuhan.
“Pentingnya memerlukan sokongan dan undi daripada semua lapisan masyarakat dan kembali kepada perjuangan sebenar yang masih belum selesai.
“Rakyat sedang dahagakan penyatuan parti terbesar negara bekerjasama untuk menjadikan Malaysia negara yang stabil dan maju,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pemimpin politik supaya mengamalkan sikap rendah diri dan tidak terlalu ghairah dengan kemenangan sementara.
“Jadilah seperti padi, semakin tunduk semakin berisi, jangan jadi seperti lalang makin tinggi akhirnya mencengkam bumi,” katanya.
Maizatulazwa berkata, persefahaman yang dibina antara parti politik perlu dipelihara demi kepentingan negara, selain menolak pendekatan politik lama yang cuba menakutkan rakyat berdasarkan sentimen kaum.
“Persefahaman yang dibina wajar dipelihara demi kestabilan politik dan kepentingan negara. Tolak politik lama yang cuba menakutkan sebilangan bangsa dan tunaikan manifesto serta utamakan kebajikan dan perpaduan,” katanya. – MalaysiaGazette
















