Bendera Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan titik muhasabah oleh Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), bukannya sekadar dilihat sebagai kekalahan biasa, kata penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan.

Menurut beliau, keputusan itu memberi mesej jelas pengundi kini semakin cenderung membuat pilihan berdasarkan prestasi pentadbiran, kepimpinan serta keupayaan sesebuah kerajaan memenuhi harapan rakyat, bukan lagi bersandarkan kepada sentimen politik semata-mata.

Katanya, kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan hampir 60 peratus undi popular membuktikan keyakinan pengundi lebih tertumpu kepada pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Datuk Anbumani Balan.

Ujar beliau, Onn Hafiz dilihat berjaya menampilkan kepimpinan dekat dengan rakyat serta memberi penekanan terhadap pembangunan dan pelaburan.

“Keputusan memberikan BN hampir 60 peratus undi popular menunjukkan mereka memilih berdasarkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri, bukan lambang parti semata-mata,” katanya dalam kolum terbaharu beliau.

Anbumani berkata, keputusan itu juga menunjukkan PH gagal menterjemahkan kelebihan sebagai Kerajaan Persekutuan kepada sokongan di peringkat negeri, walaupun gabungan itu menguasai lebih banyak kerusi Parlimen di Johor.

Beliau berpandangan, antara kelemahan utama PH ialah kempen yang lebih tertumpu kepada isu nasional sehingga kurang memberi perhatian kepada keperluan dan aspirasi rakyat Johor yang mahukan penyelesaian terhadap isu ekonomi, kos sara hidup serta pembangunan negeri.

Menurutnya, pendekatan itu menyebabkan PH gagal menawarkan naratif negeri yang lebih meyakinkan berbanding BN, sekali gus menyukarkan gabungan itu menarik sokongan pengundi atas pagar.

Mengulas berkenaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anbumani berkata, parti itu masih mempunyai asas yang kukuh untuk bangkit, namun perlu berani melakukan pembaharuan dalaman serta memperkukuhkan organisasi parti.

Katanya, proses pembaharuan perlu diteruskan dengan memberi ruang kepada barisan pemimpin pelapis, selain memperkasakan jentera akar umbi bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“PKR masih mempunyai tokoh berpotensi seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Fahmi Fadzil untuk meneruskan proses pembaharuan parti,” ujarnya.

Beliau turut menyifatkan DAP perlu melakukan penyesuaian terhadap strategi politiknya memandangkan naratif yang digunakan sebelum ini semakin kurang memberi kesan kepada sebahagian pengundi.

Menurutnya, parti itu tidak perlu terlalu ghairah berdebat di pentas nasional, sebaliknya kembali memberi fokus kepada isu yang dekat dengan kehidupan rakyat serta memperkukuhkan hubungan dengan pengundi di peringkat akar umbi.

Anbumani berkata, DAP juga tidak boleh menganggap sokongan masyarakat Cina akan terus kekal, kerana keputusan PRN Johor memperlihatkan perubahan corak pengundian apabila sebahagian pengundi memberikan sokongan kepada BN.

Katanya, perubahan itu turut membuktikan sokongan masyarakat India juga tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang statik kerana pengundi kini lebih mementingkan prestasi pentadbiran berbanding sentimen politik.

Beliau berkata, Amanah juga perlu memperkukuhkan peranan dalam gabungan, selain memainkan fungsi lebih berkesan di peringkat akar umbi bagi memastikan PH terus relevan menghadapi perubahan landskap politik.

Mengulas prospek PH menjelang PRU-16, Anbumani berkata gabungan itu masih mempunyai ruang untuk bangkit sekiranya berani bermuhasabah, bersedia berubah serta kembali mendengar suara rakyat.

“Dalam politik, kemenangan bukan hak mutlak mana-mana parti. Ia perlu diraih melalui prestasi, keikhlasan, kepercayaan dan kemampuan memenuhi harapan rakyat.

“Kekalahan PH boleh menjadi asas kepada kebangkitan lebih besar. Syaratnya hanya satu, berani bermuhasabah, bersedia berubah dan kembali mendengar suara rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast