Netizen berbangsa Cina yang menyifatkan serangan berkenaan tidak berasas, malah mendakwa Mohd Noor Helmy merupakan antara wakil rakyat paling aktif menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan yang tidak dilakukan DAP sebelum ini.

MELAKA – Cubaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kota Melaka mengkritik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berhubung isu banjir kilat mengundang reaksi mengejutkan apabila ramai masyarakat Cina tampil mempertahankan wakil rakyat itu dengan pelbagai bukti.

Menerusi hantaran di Facebook, DAPSY Kota Melaka mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri yang didakwa membelanjakan lebih RM1 juta setahun bagi tujuh ADUN lantikan, sambil mengaitkannya dengan masalah banjir di Duyong.

Bagaimanapun, ruangan komen hantaran itu dibanjiri pandangan netizen berbangsa Cina yang menyifatkan serangan berkenaan tidak berasas, malah mendakwa Mohd Noor Helmy merupakan antara wakil rakyat paling aktif menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan yang tidak dilakukan DAP sebelum ini.

Netizen Cina menyifatkan serangan berkenaan tidak berasas, malah mendakwa Mohd Noor Helmy merupakan antara wakil rakyat paling aktif menyelesaikan isu banjir di kawasan berkenaan.

Salah seorang netizen, Hokkien Lui mendakwa masalah banjir di kawasan kediamannya berlarutan selama beberapa tahun ketika kawasan itu diwakili DAP, namun berjaya diselesaikan selepas wakil rakyat UMNO daripada Barisan Nasional itu diberi mandat.

“Sorry, taman saya banjir beberapa tahun, aduan beberapa tahun, masa YB DAP pun tak dapat diselesaikan. Helmy buat dalam beberapa bulan saja.

“Sekarang keluarga kami tak perlu lagi berjaga setiap kali hujan lebat waktu malam. Kalau tak percaya, datang sendiri ke Duyong dan Semabok,” dakwanya.

Kenyataan itu disokong majoriti pengguna media sosial yang menyifatkan tindakan DAPSY mengkritik Mohd Noor Helmy tidak kena pada tempatnya kerana wakil rakyat berkenaan dilihat aktif turun padang menangani isu banjir.

Anson Khoo pula berkata, Mohd Noor Helmy sering berada di lokasi banjir walaupun pada lewat malam bagi mengenal pasti punca kejadian sebelum mengambil tindakan susulan.

“Setiap kali banjir kilat, dia antara orang pertama sampai. Selepas air surut, dia bantu uruskan pembersihan, sediakan makanan kepada penduduk dan usahakan naik taraf longkang.

“Dulu ketika Duyong diwakili DAP, saya cuma nampak edar kuih bulan sekali, selepas itu hilang,” katanya.

Seorang lagi netizen, Kelvin Chong pula menyifatkan tindakan DAP menyerang Mohd Noor Helmy sebagai langkah yang silap.

Kelvin Chong pula menyifatkan tindakan DAP menyerang Mohd Noor Helmy sebagai langkah yang silap.

“Yang paling top perform punya YB Helmy di Melaka pun nak gaduh? Nak semua Cina bungkus DAP dalam next PRU ke? You pick a wrong YB bro, jangan main politik macam ini. Kita dah bosan,” tulisnya.

Stanley Leong pula berkata, rakyat lebih memerlukan penyelesaian berbanding budaya saling menyalahkan.

“Saya dah lama mengikuti YB Mohd Noor Helmy. YB memang seorang wakil rakyat yang rajin turun padang dan kuat bekerja. Orang macam ini pun nak diserang?

“Daripada asyik buat posting di Facebook, lebih baik fokus berkhidmat kepada rakyat dan selesaikan isu yang ada. Rakyat dah penat dengan budaya saling menyalahkan dan berpolitik,” katanya.

ADUN Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Sementara itu, Morris Chen pula menyifatkan Mohd Noor Helmy sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan tindakan berbanding publisiti.

Terdahulu, Mohd Noor Helmy memuat naik gambar hujan lebat menyebabkan kebanyakan longkang di Duyong melimpah, selain mengingatkan penduduk supaya berhati-hati.

Hantaran itu kemudian dikongsikan semula oleh DAPSY Kota Melaka yang mengaitkan kejadian berkenaan dengan isu peruntukan tujuh ADUN lantikan.

Namun tindakan tersebut akhirnya mencetuskan gelombang kritikan balas daripada pengguna media sosial yang mempertahankan rekod perkhidmatan ADUN Duyong itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast