KUALA LUMPUR – Rakyat digesa menilai semula pendirian DAP didakwa sering berdebat mengenai kedudukan Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja Berperlembagaan dan dasar-dasar utama negara.
Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita S.Khan mendakwa, DAP antara parti politik paling kerap membuat tafsiran terhadap Perlembagaan Persekutuan, dasar awam serta pendekatan politik berdasarkan perjuangan parti itu.
“Konsep Malaysian Malaysia menimbulkan persoalan terhadap pelaksanaan dasar afirmatif serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“DAP menyatakan konsep itu bertujuan menggalakkan layanan sama rata di sisi undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, perbahasan mengenai hak istimewa Melayu dan Bumiputera dengan merujuk kepada Deklarasi Setapak 1967 menunjukkan DAP memperjuangkan pemansuhan istilah Bumiputera dan bukan Bumiputera.
“Walaupun DAP pada masa ini menyatakan komitmennya terhadap Perkara 153 dalam beberapa dokumen dasar parti,” katanya.
Menurutnya, sokongan DAP kepada pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) terus menjadi polemik.
“Ini kerana kerajaan menetapkan sebarang keputusan perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Selain itu, katanya, cadangan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan yang disokong DAP turut disenaraikan sebagai antara isu utama.
“Perkara itu masih diperdebatkan dari sudut implikasi terhadap sistem pentadbiran tempatan dan struktur Perlembagaan,” katanya.
Bibi Sunita turut menyentuh isu berkaitan kedudukan Islam serta kebebasan beragama yang sering menjadi perhatian apabila melibatkan kenyataan atau cadangan dasar yang menyentuh sensitiviti agama.
“Hal ini boleh dilihat daripada bantahan seorang veteran DAP yang kini memegang jawatan dalam agensi kerajaan berhubung cadangan pembinaan Masjid Wawasan berhampiran Menara TRX,” katanya.
Beliau juga membangkitkan isu berkaitan institusi Raja Berperlembagaan dengan merujuk kepada beberapa kenyataan pemimpin DAP.
“Kenyataan beberapa pemimpin DAP didakwa menyanggah titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi di negeri itu,” katanya.
Menurutnya, perdebatan mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan masa depan sekolah vernakular juga kekal menjadi antara isu yang sering dikaitkan dengan pendirian DAP dalam sektor pendidikan.
“Agenda reformasi institusi yang dibawa DAP, termasuk aspek ketelusan dan tadbir urus, masih wujud perbezaan pandangan mengenai kaedah pelaksanaan reformasi tersebut,” katanya.
Bibi Sunita turut mengkritik cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional di bawah Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional.
“Masih terdapat isu-isu berkaitan hubungan kaum yang tidak ditangani secara menyeluruh, sekali gus menimbulkan persepsi hipokrasi terhadap kerajaan,” katanya.
Katanya lagi, perdebatan terbesar sebenarnya bukan sekadar mengenai kewujudan sesuatu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi bagaimana prinsip-prinsip utama seperti Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 ditafsirkan serta diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar kerajaan.
“Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengiktiraf kebebasan berbeza pandangan politik.
“Namun semua perbahasan berkaitan dasar negara perlu dilakukan secara berhemah, berpandukan fakta, menghormati Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja Berperlembagaan, Rukun Negara serta kedaulatan undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















