WELLINGTON – Satu varian baharu selesema burung H5N1 yang baru dikesan berkemungkinan menjadi endemik di New Zealand dalam tempoh beberapa bulan selepas negara itu merekodkan kes pertama membabitkan burung laut liar, kata seorang pegawai kanan veterinar pada Khamis, lapor Xinhua.
Ketua Pegawai Veterinar Kementerian Industri Utama, Mary van Andel, berkata kepada Radio New Zealand (RNZ) bahawa usaha membasmi virus itu hampir mustahil sekiranya ia mula menular dalam hidupan liar.
Virus H5 disahkan pada Rabu selepas dikesan pada seekor burung laut yang ditemui di Pantai Petone di ibu negara Wellington, sekali gus menandakan pengesanan pertama di New Zealand ketika wabak global itu terus merebak secara meluas dalam kalangan burung liar.
“Lokasi terpencil New Zealand tidak akan mampu menghalang kemasukan virus selesema burung yang membawa maut ini,” kata Profesor Dianne Brunton dari Sekolah Sains Biologi, Universiti Auckland.
Beliau berkata, walaupun setakat ini tiada bukti berlaku kematian besar-besaran hidupan liar atau penularan antara burung di New Zealand, virus H5N1 dijangka akan menjadi endemik di negara itu dalam tempoh tertentu.
Van Andel berkata virus itu berpotensi menular daripada burung kepada manusia, namun kes sedemikian jarang berlaku, selain menegaskan keselamatan makanan tidak terjejas.
Profesor Jemma Geoghegan, pakar virologi dari Universiti Otago, berkata New Zealand telah membuat persiapan menghadapi kemasukan virus itu susulan penularannya ke Australia dan beberapa negara lain di seluruh dunia.
Beliau berkata ujian pantas, penjujukan genom serta pemantauan rapi terhadap burung liar amat penting dalam usaha mengawal penularan virus berkenaan.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand turut memulakan program vaksinasi terhadap 300 ekor burung pembiak utama daripada lima spesies paling terancam di negara itu, termasuk kakapo dan takahe, sebagai sebahagian daripada langkah kesiapsiagaan.
Pakar epidemiologi Universiti Massey, Nigel French, memberitahu RNZ bahawa populasi kecil spesies terancam, termasuk burung fairy tern yang sangat jarang ditemui, berisiko pupus sekiranya virus itu terus merebak.
— BERNAMA-XINHUA
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















