Bekas ADUN Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berucap pada Program Dialog Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, Johor. Foto MALAYSIAGAZETTE, 04 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa UMNO dan Pas mempunyai matlamat jangka pendek menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dakwanya, matlamat itu adalah supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Selain itu, dakwa beliau, Pas pula mahu kembali ke dalam Kerajaan Persekutuan tanpa perlu `tebuk atap’ dan tanpa perlu menunggu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“Tetapi Mohammad Hassan kata BN tidak akan bertanding di semua 36 kerusi kerana BN sudah ada “Rakan yang boleh dipercayai”.

“Sudah pasti PAS. Dulu Tok Mat kata, PAS tidak boleh dipercayai kerana PAS suka berselingkuh dengan janda UMNO,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, Mohd Puad berkata, adalah mustahil untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi walau satu kerusi pada PRN Negeri Sembilan.

Oleh itu, ujarnya, adalah lebih baik Bersatu meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi yang ditandingi Pas.

“Biar dua parti itu beradu kekuatan. Bersatu boleh mendedahkan perangai PAS yang tidak Islamik dalam berkawan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast