GEORGE TOWN – Penemuan sebuah motosikal dan topi keledar milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu menjadi petunjuk utama kepada pasukan penyelamat untuk memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan dusun durian di Lebuh Bukit Jambul di sini, hari ini.
Operasi yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi itu membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya selepas lokasi berkenaan dipercayai menjadi petunjuk terakhir kehilangan Shahir Zainul, 45.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya mengaktifkan operasi SAR selepas menerima permintaan daripada polis bagi membantu mengesan lelaki terbabit.
“Operasi ini diatur bersama PDRM selepas kita diminta membantu mengesan orang hilang di kawasan dusun durian milik Jabatan Pertanian negeri di sini.
“Kita memulakan pencarian dengan membahagikan kawasan pencarian kepada beberapa zon bagi memastikan operasi dilakukan secara menyeluruh.
“Kawasan pencarian meliputi dusun durian seluas 1.21 hektar dengan operasi dibahagikan kepada beberapa pasukan,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi, hari ini.
Tambah beliau, operasi membabitkan tiga balai bomba iaitu Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, Jalan Perak dan Bayan Baru dengan kekuatan 33 anggota serta 30 anggota polis.

Mengulas lanjut Mohamad Shoki berkata, lokasi pencarian dipilih berdasarkan penemuan motosikal dan topi keledar milik mangsa yang dipercayai menjadi petunjuk terakhir sebelum lelaki itu hilang.
“Kita tidak tahu mangsa berada di mana, jadi kawasan pencarian dibahagikan kepada beberapa pasukan supaya semua lokasi dapat diperiksa.
“Hari ini ahli keluarga mangsa turut bersama dan anak lelaki mangsa berusia 15 tahun membantu menunjukkan laluan kepada pasukan penyelamat untuk masuk ke kawasan pencarian memandangkan dia pernah mengikut bapa dia ke sini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan laporan kehilangan yang dibuat ibu mangsa pada 12 Jun lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumahnya di Bayan Baru kira-kira jam 5 pagi pada 10 Jun lalu selepas berlaku perselisihan faham dengan ibunya berhubung permintaan wang.

“Apabila dua hari tidak pulang ke rumah, ibunya tampil membuat laporan polis.
“Pencarian awal telah dilakukan sebaik sahaja laporan polis diterima dan ketika itu pihaknya berjaya menemukan topi keledar mangsa.
“Hari ini kita mengadakan semula operasi SAR di kawasan ini bagi memastikan pencarian dilakukan dengan lebih menyeluruh,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu media melaporkan misteri kehilangan seorang lelaki berusia 45 tahun sejak 10 Jun lalu masih belum terungkai apabila mangsa belum ditemukan sehingga kini.
Hasil siasatan awal polis mendapati lelaki warga tempatan yang tidak bekerja itu kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru di sini, kira-kira jam 5 pagi.
Polis kemudian mengklasifikasikan kes ini sebagai orang hilang. – MalaysiaGazette
















