Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam Majlis Perundingan Belia Negara 2026 peringkat kawasan Bandar Tun abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Semua pertubuhan belia diseru untuk terus memperkukuhkan tadbir urus organisasi, meningkatkan integriti, memperluaskan jaringan kerjasama strategik dan memperkasakan budaya kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, belia hari ini bukan lagi sekadar penerima manfaat malah merupakan rakan pembangunan yang mempunyai idea, kreativiti dan kemampuan untuk menyumbang kepada kemajuan negara.

“Dalam semangat Malaysia MADANI, kita mahu melahirkan belia yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kerjaya malah mempunyai nilai ihsan, hormat, keyakinan, daya cipta, kesejahteraan dan kemampanan sebagai asas membina masyarakat yang progresif,” katanya ketika berucap di Majlis Perudingan Belia Negara peringkat kawasan Tun Abdul Razak.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, golongan belia kini berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan yang semakin kompetitif, perubahan teknologi yang pesat, perkembangan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), keselamatan siber, isu kesihatan mental serta pengaruh media sosial yang memerlukan pendekatan baharu dalam pembangunan modal insan.

Oleh yang demikian, semua pihak perlu bergerak seiring bagi memastikan setiap dasar dan program yang dirancang benar-benar memenuhi keperluan semasa belia.

Sementara itu, Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) peringkat kawasan Tun Abdul Razak mengusulkan empat resolusi utama dengan menubuhkan Hub Belia Komuniti, memperkasakan ekonomi belia dengan Program Kesusahawanan Digital, penubuhan dana pembangunan belia dan memperkukuhkan strategi intervensi awal dan pemulihan penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast