Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin bersama Calon PRN Negeri Sembilan ketika sesi pengumuman calon Bersatu pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon Bersatu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Haminah Hamid Event. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JULAI 2026

NILAI – Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan pembentukan satu gabungan politik baharu bersama beberapa parti lain sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagaimanapun menegaskan, ia masih kekal sebagai komponen Perikatan Nasional (PN).

Tambah Muhyiddin, usaha itu sedang diperhalusi menerusi siri perbincangan bersama pemimpin parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), namun enggan memperincikan bentuk kerjasama berkenaan kerana masih di peringkat awal.

“Saya sudah pun bertemu dengan ramai pemimpin parti-parti dalam IPR. Ada yang hadir dan ada perbincangan ke arah persediaan bersama.

“Setakat ini saya hanya boleh katakan kita masih menjadi ahli Perikatan Nasional, tetapi ada strategi tertentu yang akan kita pastikan ke hadapan, terutama bagi menghadapi PRU16,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Mengulas dakwaan bahawa langkah itu bermaksud Bersatu akan keluar daripada PN, Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan berlaku.

“Saya tidak sebut begitu. Cuma buat masa ini saya sebutkan kita masih jadi ahli Perikatan Nasional,” katanya.

Dalam sidang media sama, Muhyiddin berkata partinya kini tidak lagi mempunyai elemen Pas di dalamnya, sekali gus berharap dapat menghapuskan keraguan dalam kalangan pengundi bukan Islam terhadap parti itu menjelang PRN Negeri Sembilan.

Menurut beliau, Bersatu kekal sebagai parti yang mewakili semua kaum menerusi kewujudan sayap Bersekutu yang dianggotai pemimpin bukan Melayu, malah beberapa calon daripada sayap itu turut diketengahkan untuk bertanding pada PRN kali ini.

Katanya, langkah tersebut membuktikan Bersatu bukan hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum semata-mata.

“Saya mohon sekali lagi kerjasama rakyat untuk menyokong calon-calon yang telah saya pilih. Saya berjanji mereka akan berkhidmat dengan bersungguh-sungguh, mempunyai pengalaman serta berkeupayaan menjalankan amanah. Pastinya ini adalah sesuatu yang amat baik untuk pengundi di Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast