KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kebimbangan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung terhadap kemungkinan kerjasama UMNO dengan Pas yang menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai satu sikap hipokrit.
Menurutnya, kenyataan pemimpin muda MCA itu yang mendakwa kerjasama berkenaan bercanggah dengan prinsip parti tidak berasas memandangkan MCA sendiri pernah berdepan situasi politik yang memerlukan kerjasama rentas ideologi.
“Apa yang Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung takut sangat kepada Pas? Dia kata, itu menggadai prinsip. Bila masa MCA ada prinsip?” soalnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Puad berkata, memainkan sentimen agama dan dakwaan Islamofobia tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa kerana matlamat utama parti-parti politik adalah untuk memperoleh kuasa melalui kerjasama strategik.
Beliau mendakwa perkara itu pernah berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 apabila Pas sanggup menawarkan penggunaan lambang bulan kepada DAP selepas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berdepan isu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Menurutnya, ketika itu Setiausaha Agung Pas, Allahyarham Datuk Mustafa Ali turut menandatangani surat kebenaran berhubung perkara tersebut.
“Kenapa Pas lembut ketika itu? Kerana objektif mereka ialah untuk kalahkan BN pada PRU 2013. Maka apa bezanya sekarang? Objektif utamanya ialah untuk tumbangkan PH pula,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, DAP akhirnya dibenarkan menggunakan semula lambang roket sehari sebelum hari penamaan calon PRU13.
Puad berkata, perkembangan itu membuktikan kerjasama politik antara parti yang berbeza ideologi bukan perkara baharu dalam politik negara.
Sehubungan itu, beliau berpendapat kebimbangan yang dibangkitkan Saw tidak akan mempengaruhi pendirian kepimpinan tertinggi MCA.
“Gerakan dan MIPP tidak keluar PN. Maka Wee Ka Siong tidak akan peduli kerisauan Setiausaha Agung Pemuda MCA. Itulah politik ‘merebut kuasa’,” katanya.
Sebelum ini, Yee Fung mempersoalkan dakwaan mengenai kerjasama antara UMNO dan Pas dengan menyifatkan langkah itu bercanggah dengan prinsip serta pendirian MCA. – MalaysiaGazette
















