12 pemandu dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Pulau Pinang.

BUTTERWORTH – Mahu kekal bertenaga ketika memandu terutama bagi mengharungi perjalanan jauh antara alasan yang diberikan pemandu lori yang dikesan positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, itu alasan diberikan sebahagian daripada 12 pemandu yang dikesan positif dadah selepas 121 pemandu menjalani ujian saringan air kencing sepanjang operasi bermula 1 Julai hingga malam tadi.

Katanya, mereka yang positif membabitkan 10 pemandu kenderaan perdagangan dan dua pemandu persendirian berusia lingkungan 40-an hingga 50-an.

“Antara yang dikesan ialah enam kes penyalahgunaan ketum, syabu (5) dan seorang ganja.

Zulkifly.

“Operasi ini memfokuskan lokasi terpilih termasuk plaza tol, stesen penguatkuasaan dan terminal bas bagi membolehkan saringan dilakukan secara menyeluruh terhadap pemandu berisiko tinggi,” katanya kepada pemberita di Plaza Tol Sungai Dua arah Selatan malam tadi.

Operasi bersepadu itu turut membabitkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Tambah beliau, majikan juga perlu bertanggungjawab memastikan pemandu yang digajikan bebas daripada penyalahgunaan dadah kerana kegagalan mematuhi syarat pelesenan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD), termasuk penggantungan lesen pengendali.

“JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu kenderaan perdagangan di bawah pengaruh dadah kerana tindakan itu mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast