KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Nepturis Sdn. Bhd. memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak mengetahui sama ada wang RM1 juta yang diberikan syarikat itu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan sumbangan atau imbuhan.
Mohd. Rizman Akum Khan, 43, berkata, perbezaan kedua-duanya hanya boleh ditentukan oleh pemilik Nepturis, Lian Tian Chuan (TC Lian) iaitu pihak yang mengarahkan pengeluaran wang dilakukan.
Terdahulu, dalam pernyataan saksinya, beliau memberitahu telah diarah oleh TC Lian menandatangani cek bertarikh 16 Februari 2022 untuk pengeluaran wang tersebut kepada Bersatu.
Bagaimanapun, ketika disoal balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, Mohd. Rizman berkata, pemberian itu bukan rasuah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
Sementara itu, pada sesi pemeriksaan semula, beliau ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin perbezaan sumbangan dan imbuhan.
“Donation (sumbangan) lebih kepada derma, imbuhan mungkin satu pertolongan atau untuk balas budi,” demikian kata Mohd. Rizman ketika memberi keterangan pada perbicaraan kes Janawibawa melibatkan Muhyiddin.
Saksi pendakwaan ke-16 itu selanjutnya bersetuju, Muhyiddin yang ketika itu Perdana Menteri tidak pernah meminta sumbangan daripada Nepturis.
Namun demikian, beliau tidak pasti mengapa TC Lian mengarahkannya menghantar surat kepada Muhyiddin berkaitan projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara yang kemudian diketahuinya di bawah Program Janawibawa.
Menjawab soalan Wan Shaharuddin, Mohd. Rizman mengaku Nepturis pernah membida projek pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara pada sekitar 2021 yang kemudian diperoleh syarikat itu.
“Projek tersebut bukan di bawah Program Janawibawa dan seingat saya tiada surat dikemukakan kepada Muhyiddin. Sama ada sumbangan diberikan atau tidak (bagi projek itu), juga tiada dalam pengetahuan saya,” ujarnya.
Sementara itu, dalam pernyataan saksi, Mohd. Rizman berkata, nama TC Lian tiada dalam dokumen milikan saham Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) meskipun ahli perniagaan itu turut mempunyai 30 peratus pegangan saham di dalamnya.
Hakim, Noor Ruwena Md. Nurdin kemudian meminta kepastian mengapa Nepturis tidak mengisytiharkan pegangan saham TC Lian kepada SSM dan hanya mengisytiharkan kedua-dua pengarah (beliau dan Aliza Abdul Malek) yang masing-masing mendapat 50 peratus.
Bagaimanapun, saksi berkata, perkara itu tidak menjadi kesalahan kerana ia merupakan strategi perniagaan.
Ujar beliau, Nepturis mendapat suntikan modal daripada sebuah lagi syarikat milik TC Lian, Metrasys Sdn. Bhd.
“Metrasys tidak akan membida projek kerajaan kerana ia 100 peratus bukan milik Bumiputera. Jika TC Lian ada pegangan saham dalam Nepturis, ia tetap milik Bumiputera kerana beliau hanya mempunyai 30 pegangan saham,” jelas beliau.
Perbicaraan bersambung 27 Julai ini.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette
















