KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan nilai rampasan RM1.132 bilion membabitkan pelbagai kesalahan hasil operasi yang dijalankan di seluruh negara dari Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rampasan itu membabitkan sebanyak 2,866 kes dengan 4,007 individu ditahan atas pelbagai kesalahan di seluruh negara.
Tambahnya, pasukan turut melaksanakan Op Intra/Inter (Ops Block Chain/Cryptocurrency), di Petaling Jaya pada 14 hingga 15 Julai lalu dengan melakukan dua serbuan di premis yang menjalankan aktiviti kripto tanpa permit yang sah.
“Operasi itu dijalankan melalui Risikan Utama, Cawangan Pengoperasian Ibu Pejabat (PGA) Bukit Aman dengan kerjasama strategik Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Putrajaya dan telah menahan dua individu tempatan berusia 32 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 112 dan 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari sehingga Jun lalu, PGA telah berjaya membuat rampasan berjumlah RM1.132 bilion atas pelbagai kesalahan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, operasi itu membuktikan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh kerjasama dengan agensi lain bagi membanteras jenayah kewangan dan pengelakan cukai secara lebih berkesan.
Tegasnya, PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan percukaian bagi membanteras jenayah kewangan yang menjejaskan ekonomi serta mengelakkan ketirisan hasil negara.
“Orang ramai diminta terusmenyalurkan maklumat kepada PDRM bagi membantu usaha membanteras jenayah kewangan, pengubahan wang haram dan aktiviti ekonomi haram demi menjaga keselamatan serta kepentingan negara,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















