Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada fenomena kepala air yang datang secara tiba-tiba.

KULIM – Tiga maut manakala seorang lagi terselamat dalam kejadian kepala air di Sungai Sedim, Karangan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, mangsa yang maut terdiri daripada seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak lelaki.

Manakala mangsa terselamat merupakan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim menerima makluman daripada orang awam melalui talian kecemasan 999 berhubung kejadian itu jam 2.38 petang sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi bagi memberi bantuan awal dan mengambil tindakan lanjut.

Dua kanak-kanak lelaki antara tiga mangsa maut akibat kepala air di Sungai Sedim, Kedah hari ini.

“Siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada fenomena kepala air yang datang secara tiba-tiba.

“Siren kecemasan di tempat kejadian juga dilaporkan mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu,Komander Operasi, Mohamad Yazan Yahaya berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila fenomena kepala air yang melanda kawasan air terjun, menyebabkan beberapa mangsa dihanyutkan arus deras.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di kawasan puncak bukit serta sepanjang aliran sungai.

“Ketiga-tiga mangsa berjaya dikesan terapung di aliran sungai di pertengahan bukit sebelum dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.

“Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast