Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim memuji pegawai-pegawai kanan kerajaan di Putrajaya kerana berwaspada dengan komuniti Network School dan memastikan wang yang dikaitkan dengan Zionis tidak mengalir masuk ke negara ini.

Katanya, di seluruh dunia, wang yang dikaitkan dengan Zionis sedang mencari tempat untuk dilaburkan selepas tempat perlindungan mereka di Asia Barat terdedah.

“Argentina, misalnya, memperuntukkan 100,000 hektar tanah untuk pelaburan dan penempatan Zionis.

“Apabila tiada negara yang mahu memenuhi kehendak mereka berhubung unsur nadir bumi, mereka datang ke sini. Apabila tiada negara yang mahu menerima pusat data mereka, kita pula mengalu-alukan kedatangan mereka, malah mereka kini sudah mempunyai pegangan dalam lapangan terbang kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zaid turut menyifatkan pengasas Network School di Forest City sebagai angkuh kerana memberi kata dua kepada Malaysia supaya memenuhi tuntutannya atau beliau akan menarik balik keseluruhan pelaburan bernilai berbilion dolar itu.

Terdahulu, Balaji Srinivasan menerusi hantaran di X mengumumkan, semua rancangan pelaburan baharu Network School di Malaysia ditangguhkan sehingga mendapat jaminan kerajaan Malaysia.

Beliau juga meminta agar diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang.

Ia susulan kontroversi yang selepas sebuah akaun media sosial tanpa nama mendakwa syarikat itu melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dan juga isu kehadiran pekerja warga Israel yang menggunakan pasport negara kedua.

“Pengasas terbabit juga tidak menyentuh langsung mengenai perkara yang menjadi subjek siasatan pihak berkuasa, iaitu berhubung kehadiran individu yang mempunyai kerakyatan Yahudi dalam program berkenaan,” katanya lagi.

Menurut Zaid, Malaysia perlu berhati-hati dengan tawaran pelabur untuk membawa masuk berbilion dolar ke negara ini.

Katanya, jika tidak berwaspada, Malaysia mungkin menjadi negara satelit Zionis seperti Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain.

“Dari luar kelihatan mewah dan kaya-raya, tetapi hakikatnya hanyalah boneka yang miskin,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast