JEMPOL – Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan anak tempatan, Muhammad Zahin Zainal Abidin sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan membawa naratif memperjuangkan nasib generasi kedua FELDA.
Pada hari penamaan calon, Muhammad Zahin memperkenalkan dirinya bukan sekadar sebagai wakil parti sebaliknya menampilkan identiti sebagai anak peneroka generasi kedua Felda Palong 8 sekali gus cuba membina hubungan rapat dengan kelompok pengundi yang menjadi majoriti di kawasan berkenaan.
“Pencalonan tersebut bukan sekadar satu penghormatan malah amanah besar yang perlu dipikul bagi membawa suara masyarakat setempat ke pentas Dewan Undangan Negeri.
“Saya merupakan anak peneroka generasi kedua Felda Palong 8 dan menetap di Felda Palong 8. Insya-Allah terdapat beberapa isu yang perlu diberi perhatian, khususnya membabitkan generasi kedua,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini hari ini.
Naratif yang dibawa Muhammad Zahin dilihat memberi penekanan kepada isu-isu berkaitan generasi kedua FELDA seperti peluang pekerjaan, pemilikan kediaman, pembangunan ekonomi serta masa depan golongan muda di tanah rancangan, yang sering menjadi antara tuntutan utama komuniti berkenaan.
Pendekatan menggunakan identiti sebagai anak tempatan juga dijangka menjadi antara strategi utama PH bagi menambat hati pengundi DUN Palong, sebuah kawasan yang mempunyai pengaruh besar komuniti FELDA dan pengundi luar bandar.
Dengan meletakkan perjuangan generasi kedua sebagai agenda utama kempen, PH dilihat mahu menawarkan pendekatan berasaskan pengalaman hidup calon sendiri sekali gus cuba meyakinkan pengundi bahawa beliau memahami cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat di Palong.
DI DUN Palong, penyandang kerusi DUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor mewakili BN-UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023.
Beliau bakal dicabar oleh Muhammad Zahin daripada PKR yang mewakili PH manakala Bersatu mempertaruhkan Rebin Birham.
DUN Palong mempunyai seramai 23,555 pengundi berdaftar, sekali gus menjadikan setiap undi bakal memainkan peranan penting kepada pemilih dalam memilih calon. – MalaysiaGazette
















