JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, kerajaan Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci isu Network School di Forest City.
Titah baginda, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor.
“Berhubung isu melibatkan Network School di Forest City baru-baru ini, sebarang perkara berkaitan kemasukan warga asing ke negara ini adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan siasatan terperinci.
“Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, syarat lesen atau peraturan, tindakan tegas akan diambil termasuk membatalkan lesen atau permit operasi syarikat berkenaan di Johor,” titah baginda dalam satu kenyataan malam ini.
Isu Network School di Forest City menjadi perhatian selepas timbul dakwaan dalam media sosial bahawa program berkenaan disertai warga asing, termasuk individu yang didakwa memiliki kewarganegaraan Israel dan memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.
Susulan itu, kerajaan Johor menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap identiti dan kewarganegaraan individu terbabit, dokumen perjalanan, penggunaan pasport kedua, jenis pas serta tujuan kemasukan ke Malaysia.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
MBIP beri Notis Henti Niaga kepada satu premis School Network
















