GEORGE TOWN – Polis mengesahkan siasatan kes kehilangan Shahir Zainul, 46, selesai selepas identiti mayat tanpa waris yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) disahkan ialah mangsa.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, pengesahan itu dibuat selepas ahli keluarga mangsa hadir melakukan pengecaman di HPP semalam.
Katanya, hasil siasatan mendapati HPP sebelum ini telah mengeluarkan hebahan berhubung mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut pada jam 5.28 petang, 11 Jun lalu ketika menerima rawatan di HPP.

“Susulan pengecaman yang dilakukan oleh ahli keluarga, identiti mangsa telah disahkan sebagai Shahir Zainul yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Anuwal menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kes ini sehingga boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, pihak media serta orang awam yang menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama sepanjang usaha mengesan mangsa dijalankan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Misteri kehilangan Shahir terungkai, ditemui sebagai mayat tak dituntut
Hidup atau mati, biarlah saya jumpa Shahir – Ibu mangsa
Media sebelum ini melaporkan, Shahir keluar dari rumahnya di Bukit Gedung, Bayan Baru kira-kira jam 5 pagi pada 10 Jun sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarga.
Susulan laporan kehilangan itu, satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilaksanakan di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul iaitu lokasi motosikal mangsa ditemui, semalam.
Bagaimanapun, operasi tersebut ditamatkan pihak berkuasa selepas hasil pencarian adalah negatif dan tiada petunjuk baharu ditemukan. – MalaysiaGazette
















