Pengarah Pilihan Raya PKR, Dr N Sathia Prakash

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menggesa pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menilai rekod pentadbiran, prinsip dan asas kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional (BN) terlebih dahulu dan bukan sekadar melihat gabungan politik yang dibentuk.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kerjasama politik seharusnya dibina atas dasar yang jelas, kejujuran kepada rakyat dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, rakyat masih mengingati tempoh ketika Pas dan BN pernah berada dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang menurutnya menyaksikan pelbagai cabaran termasuk ketidakstabilan politik serta isu keyakinan pelabur.

“Kerjasama politik bukan sekadar soal mendapatkan kemenangan pilihan raya, ia adalah soal arah tuju negara, kestabilan pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap prinsip yang dibawa oleh sesebuah gabungan.

“Adakah kerjasama ini benar-benar berasaskan kesepakatan untuk rakyat, atau sekadar strategi mendapatkan kuasa politik?” soalnya dalam satu satu kenyataan sempena kempen PRN Negeri Sembilan hari ini.

Menurut Dr Sathia yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Selangor, perubahan pendirian politik antara parti-parti yang sebelum ini saling mengkritik turut menimbulkan persoalan sama ada prinsip yang diperjuangkan kekal atau berubah mengikut keperluan politik semasa.

“Apabila dua pihak yang sebelum ini mempunyai pendirian politik yang berbeza akhirnya memilih untuk bekerjasama demi kuasa, persoalan yang wajar ditanya oleh rakyat ialah apakah prinsip itu kekal, atau hanya bergantung kepada keperluan politik semasa?

“Jika dahulu terdapat perbezaan yang besar antara kedua-dua parti, rakyat berhak mengetahui apakah asas perubahan tersebut dan apakah jaminan bahawa kepentingan rakyat akan menjadi keutamaan,” katanya.

Dr Sathia berkata, politik matang bukan bermaksud tidak boleh bekerjasama kerana ia adalah perkara biasa dalam demokrasi namun mesti dibina atas dasar yang jelas, kejujuran kepada rakyat dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik.

“Rakyat semakin bijak menilai. Jangan gunakan prinsip hanya apabila ia menguntungkan, dan jangan tinggalkan prinsip apabila kuasa menjadi keutamaan.

“Kerana dalam politik, rakyat mungkin lupa kata-kata tetapi rakyat tidak akan lupa rekod dan tindakan,”katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast