Gambar hiasan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menggerakkan sepenuhnya jentera pilihan rayanya sejurus selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini dengan memberi tumpuan kepada kempen turun padang dan kunjungan dari rumah ke rumah bagi mendekati pengundi.

Dalam kenyataan hari ini, PH berkata, pihaknya berpuas hati dengan kelancaran proses penamaan calon di semua pusat penamaan calon yang menandakan bermulanya tempoh berkempen secara rasmi.

Menurut kenyataan itu, persiapan jentera yang dilakukan sejak beberapa bulan lalu kini berada pada tahap terbaik dengan kerjasama semua peringkat parti.

“Semua kepimpinan pusat, sayap parti dan anggota dari seluruh negara bergerak sebagai satu pasukan yang inklusif dan berdisiplin bagi menghadapi pilihan raya ini,” menurut kenyataan itu.

PH turut merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong dan sukarelawan yang hadir di pusat-pusat penamaan calon pagi tadi.

Katanya, kehadiran mereka bukan sahaja membangkitkan semangat calon dan jentera parti, malah mencerminkan sokongan rakyat yang mahu PH terus mentadbir Negeri Sembilan.

Sepanjang tempoh berkempen, PH berkata, tumpuan akan diberikan kepada pendekatan setempat menerusi program turun padang dan kunjungan dari rumah ke rumah bagi membolehkan calon mendengar sendiri pandangan serta keperluan pengundi.

Pada masa sama, jentera media sosial akan digerakkan bagi menyampaikan manifesto dan tawaran PH secara telus serta berfakta, khususnya kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Menurut kenyataan itu, PH juga komited menjalankan kempen secara sihat tanpa provokasi dengan memberi tumpuan kepada tawaran serta penyelesaian terhadap isu sosioekonomi rakyat.

“PH tidak mahu terperangkap dalam polemik penjajaran kuasa politik yang sedang dimainkan pihak lawan.

“Sebaliknya, kami mahu terus berkhidmat kepada rakyat dengan bersandarkan rekod pentadbiran yang terbukti serta komitmen terhadap pembangunan mapan Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru seluruh pengundi supaya keluar mengundi dan memberikan mandat kepada calon-calon PH bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri dapat diteruskan.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat penting bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan usaha membawa kestabilan, pembangunan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast