JEMPOL – Tidak mahu membuang masa selepas diberi mandat rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Danni Rais, memulakan gerak kerja dengan turun padang bertemu masyarakat bagi mendapatkan sendiri pandangan dan keperluan penduduk.
Menurut beliau, tempoh 100 hari pertama akan dimanfaatkan untuk mengadakan sesi pertemuan bersama ketua-ketua kampung, jawatankuasa masjid, pertubuhan, persatuan serta peniaga di pasar sebagai langkah awal membina pelan pembangunan yang benar-benar berasaskan kehendak rakyat.
Beliau berkata, segala maklum balas yang diperoleh akan menjadi asas kepada perancangan pembangunan bagi tempoh 12 bulan pertama serta pelan jangka panjang lima tahun untuk DUN Klawang.
“Saya mahu bertemu rakyat terlebih dahulu. Bermula dengan pemimpin kampung, masjid, persatuan dan peniaga juga di pasar.
“Sangat penting untuk kita mendengar pandangan mereka sebelum membuat sebarang keputusan atau melaksanakan sesuatu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas kemenangan pada percubaan kedua, graduan lulusan undang-undang itu menyifatkan mandat yang diterima sebagai hasil kesabaran dan kecekalan sepanjang perjalanan politiknya.
Tambahnya, rakyat berhak menilai prestasinya berdasarkan tindakan dan pencapaian sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat.
“Kali kedua saya bertanding mengajar saya bahawa perjuangan memerlukan kesabaran. Saya bersyukur rakyat memberikan kepercayaan ini dan saya akan membuktikan pilihan mereka adalah tepat.
“Saya tidak mahu dinilai berdasarkan janji semata-mata. Berikan saya peluang untuk bekerja. Insya-Allah, hasilnya nanti biarlah rakyat sendiri yang menilai,” kata Danni.
Danni turut menegaskan kemenangan tersebut bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya satu amanah besar yang perlu diterjemahkan melalui khidmat kepada seluruh masyarakat tanpa mengira latar belakang politik.
“Pilihan raya telah selesai. Kini masanya kita bekerja untuk semua. Keutamaan saya ialah memastikan setiap lapisan masyarakat di Klawang merasai manfaat daripada pembangunan dan dasar yang akan dilaksanakan,” katanya.
Selepas dua kali mencuba nasib di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Danni Rais akhirnya berjaya memenangi hati pengundi apabila menewaskan penyandang daripada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026.
Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Wawasan Negara (WAWASAN) itu memperoleh 5,310 undi untuk menewaskan Datuk Bakri Sawir (PH) yang meraih 3,993 undi dan calon Bersatu, Muhammad Adib Musa, dengan 549 undi, sekali gus menang dengan majoriti 1,317 undi.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Danni kerana pada PRN Negeri Sembilan 2023 beliau tewas kepada Bakri Sawir dengan majoriti 577 undi atas tiket PN-Bersatu.
Selain DUN Klawang, Wawasan bertanding menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi tiga kerusi DUN termasuk Sikamat, dan Gemas pada PRN Negeri Sembilan kali ini. – MalaysiaGazette
















