PORT DICKSON – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung bertekad untuk meneruskan khidmat dengan lebih dekat dan baik kepada rakyat sekiranya diberikan mandat lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran, 39, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berkata, ia kerana tempoh dua tahun lebih menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2023 tidak mencukupi untuk beliau membawa perubahan di Sri Tanjung.
Menurutnya, banyak perancangan yang dirangka kini tergendala gara-gara PRN yang menyebabkan keadaan politik dan ekonomi tidak stabil di negeri ini.
“Tempoh dua tahun setengah ini kita hendak bawa pelabur ke Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar untuk mendapat pelaburan yang tertinggi dan kecerdasan buatan (AI) pun sudah ada, tiba-tiba hendak pilih raya, ekonomi dan politik jadi tidak stabil.
“Saya harap rakyat tahu dan bijak mengundi nanti,” katanya ketika ditemui MalayGazette selepas selesai proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini hari ini.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, Rajasekaran akan berdepan saingan lima penjuru calon dari Barisan Nasional (BN), A. Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Turut bertanding, A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi masing-masing calon bebas.
Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.
Pada PRN 2023, Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi.
PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 menyaksikan PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14) dan PN (lima).
SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai ini manakala hari pengundian 1 Ogos depan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – MalaysiaGazette

















