Calon PH Seri Menanti komited perjuangkan nasib warga emas di Dun itu.

SERI MENANTI –  Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa bertekad menjadi ‘anak kampung’ yang sentiasa dekat dengan masyarakat, khususnya warga emas, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, hasil ziarah dari rumah ke rumah pada hari pertama kempen mendapati golongan veteran bukan sahaja menghargai bantuan yang diterima, malah mengharapkan seorang wakil rakyat yang sentiasa hadir bertanya khabar dan membantu menyelesaikan masalah harian mereka.

Menurutnya, maklum balas daripada sembilan pasukan kempen yang turun padang setakat ini juga menunjukkan penerimaan pengundi terhadap PH adalah positif.

“Alhamdulillah, maklum balas daripada semua pasukan agak baik. Sambutan mungkin belum terlalu tinggi kerana baru hari pertama kempen, tetapi secara keseluruhannya respons pengundi positif.

“Majoriti yang kami temui ialah warga emas dan mereka inilah yang memerlukan perhatian secara dekat dan konsisten,” katanya kepada MalaysiaGazette di sekitar Terachi di sini.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa ditemuramah MalaysiaGazette hari ini.

Mohd Kamarul berkata, kebanyakan warga emas yang ditemui tinggal berdua selepas anak-anak mereka bekerja atau menetap di luar kawasan, menyebabkan mereka mengharapkan lebih banyak kunjungan daripada wakil rakyat.

Selain bantuan kewangan, katanya, ramai hanya mahukan seseorang datang bertanya khabar, membantu menyelesaikan masalah kecil di rumah atau memudahkan urusan mendapatkan rawatan.

“Ada yang memerlukan bantuan membaiki bumbung rumah yang bocor, ada yang perlukan pengangkutan ke hospital dan ada juga yang sekadar gembira apabila kita datang menziarah kerana sudah lama tiada orang bertanya khabar.

“Perkara seperti ini nampak kecil, tetapi sangat besar maknanya kepada mereka. Sebab itu saya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama rakyat, bukan hanya ketika musim pilihan raya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ramai pengundi yang ditemui  menyatakan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta bantuan dan insentif kepada warga emas yang disediakan Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurutnya, pengundi turut mengiktiraf rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang disifatkan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan veteran.

“Mereka sendiri menyebut bantuan yang diterima daripada kerajaan. Ini menunjukkan pengundi bukan sahaja menilai janji, tetapi turut melihat apa yang telah dilaksanakan,” ujarnya.

Mengulas pertandingan tiga penjuru di DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul berkata, kempen berjalan dalam suasana harmoni walaupun setiap calon mewakili parti berbeza.

Beliau berkata, persaingan seharusnya tertumpu kepada tawaran terbaik kepada rakyat dan bukannya serangan peribadi.

PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini menyaksikan Mohd Kamarul berdepan penyandang daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi serta calon Bersatu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi DUN Seri Menanti -M alaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast