Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Arborist Malaysia sedang menjalankan siasatan teknikal terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Razak, di sini, semalam hingga mengorbankan seorang pengguna jalan tersebut.

Siasatan tersebut meliputi keadaan fizikal pokok, struktur akar, keadaan tanah, faktor persekitaran serta aspek lain yang berkaitan.

Menurut DBKL, semakan turut dibuat terhadap rekod pemeriksaan, penyelenggaraan dan sebarang aduan terdahulu berkaitan pokok serta lokasi kejadian mendapati pokok berkenaan ialah daripada spesies Peltophorum pterocarpum (yellow flame) dianggarkan berusia 19 tahun dan kali terakhir diperiksa dan disenggara pada 15 Mei 2025.

Katanya, kontraktor yang telah dilantik oleh DBKL telah melaksanakan kerja-kerja pengurangan silara berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Arboris Bertauliah.

Dalam pada itu, sebagai langkah segera, DBKL telah memulakan pemeriksaan terhadap pokok matang dan pokok yang berpotensi mendatangkan risiko di semua jalan utama Kuala Lumpur khususnya di kawasan yang dikenal pasti mempunyai jumlah trafik dan pergerakan orang awam yang tinggi.

Pemeriksaan awal yang melibatkan lapan pasukan termasuk lima arboris membabitkan pokok-pokok yang berada di Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Datuk Keramat dan sebahagian Jalan Tun Razak dan dijangka diselesaikan dalam tempoh 10 minggu.

“Sebagai langkah pencegahan jangka sederhana, DBKL sedang menunggu kelulusan SIRIM bagi penggunaan sebanyak 400 unit pengesan pokok yang akan dipasang secara berperingkat di lokasi-lokasi hotspot terlebih dahulu.

“Pengesan tersebut akan digunakan untuk memantau keadaan pokok dan memberikan bacaan awal berhubung perubahan yang boleh menjejaskan kestabilannya termasuk keadaan tanah, kelembapan, pergerakan struktur serta kesan cuaca buruk, hujan lebat dan banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL dalan kenyataan itu berkata, data daripada pengesan ini akan membantu DBKL mengenal pasti pokok yang memerlukan pemeriksaan lanjut dan membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal sebelum risiko menjadi lebih serius.

Pelaksanaan fasa pertama dijangka melibatkan empat lokasi iaitu Jalan Bangsar, Dataran Merdeka, Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan.

Mengulas mengenai kejadian itu, DBKL berkata, pasukan DBKL telah digerakkan ke lokasi sebaik sahaja menerima laporan kira-kira jam 10.14 malam bagi membantu operasi kecemasan, melaksanakan kerja pemotongan serta mengalihkan pokok yang menghalang laluan.

“Kerja pembersihan selesai pada kira-kira 1.27 pagi manakala laluan dibuka semula kepada pengguna jalan raya pada masa yang sama juga,” ujarnya sambil merakam ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia

Katanya, DBKL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan agensi berkaitan dalam melengkapkan siasatan terhadap kejadian ini.

Semua dapatan teknikal akan diteliti dengan serius dan tindakan pembetulan akan dilaksanakan tanpa berlengah berdasarkan hasil siasatan, tambahnya.

DBKL juga akan berhubung dengan keluarga mangsa dan pihak yang terlibat bagi membantu urusan berkaitan, tertakluk kepada peraturan serta proses yang berkuat kuasa.

Dalam kejadian semalam, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dihempap pokok tumbang di depan Dua Residensi berhampiran Kedutaan Singapura di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira 10.20 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sazalee Adam berkata mangsa Mohd Amir Shazwan Saion, 43, mengalami kecederaan pada kedua-dua belah tangan dan pendarahan dalaman di bahagian dada.

Beliau berkata,  sebuah lagi kenderaan yang dinaiki tujuh individu berusia dua bulan hingga 57 tahun turut dihempap pokok dalam kejadian itu. – MalaysiaGazette

 

Lelaki maut dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast