ISTANBUL – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa berjaya menembak jatuh sebuah dron MQ-9 milik Amerika Syarikat (AS) di ruang udara Ahvaz, barat daya Iran, menurut agensi Anadolu yang memetic penyiar rasmi Iran, IRIB, pada Ahad.
Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan daripada pegawai AS berhubung dakwaan tersebut.
Ketegangan antara AS dan Iran terus memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan pertikaian berkaitan Selat Hormuz, dengan kedua-dua negara saling melancarkan serangan walaupun wujud satu rangka kerja perjanjian yang diusahakan Pakistan bagi menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai yang berkekalan.
Sementara itu, tentera Kuwait memaklumkan angkatan bersenjata negara itu kini sedang bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan dron yang disifatkan sebagai serangan musuh susulan siri serangan Iran sejak beberapa hari lalu.
“Sebarang letupan yang mungkin didengari adalah berpunca daripada sistem pertahanan udara yang sedang memintas sasaran musuh,” menurut kenyataan tentera Kuwait menerusi platform media sosial X.
Tentera Kuwait turut menggesa orang ramai supaya mematuhi semua arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara itu.
Hampir seminggu lalu, AS melancarkan beberapa siri serangan ke atas sasaran di Iran, manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang kemudahan serta pangkalan yang didakwa digunakan oleh tentera AS di beberapa negara rantau itu, termasuk Kuwait.
Peningkatan ketegangan antara Washington dan Tehran berlaku meskipun kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diusahakan Pakistan pada Jun lalu, dengan tujuan menamatkan konflik dan mencapai perjanjian damai yang berkekalan. – Agensi
















