KANGAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku buli di institusi pendidikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah.
JPN Perlis dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jabatan itu mengambil perhatian serius terhadap dakwaan salah laku pelajar sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah sekolah di negeri itu.
“Pada masa sama, kebajikan pelajar yang menjadi mangsa dalam insiden ini diberi sepenuh perhatian. Masyarakat diseru tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengganggu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.
JPN Perlis berkata, jabatan itu memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis selain komited memastikan keselamatan serta kesejahteraan pelajar, guru dan warga institusi pendidikan di bawah kelolaannya.
Semalam, polis mengesahkan menahan tiga pelajar lelaki tingkatan satu sebuah sekolah menengah di sini kerana disyaki membuli seorang pelajar lelaki sebaya sehingga mendatangkan kecederaan pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan pada 11.27 malam Khamis dan mangsa mengalami kecederaan pada buku lali kiri.
Tiga pelajar terlibat ditahan reman hingga hari ini bagi membantu siasatan kes itu. – BERNAMA
















