Noorzunita bersama pengundi Pilah pada walkabout hari ini.

KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim optimis mampu mempertahankan kerusi itu selepas menerima sambutan positif daripada pengundi pada hari pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Kempen Noorzunita bermula seawal jam 7.30 pagi menerusi sesi walkabout di Warung Roti Prata, Pilah sebelum meneruskan pertemuan bersama masyarakat Cina di sebuah restoran dan sekitar Taman Aik Joo.

Malah jadual padat beliau diteruskan ke beberapa lokasi lain sehingga kira-kira jam 10 malam.

Beliau berkata, pendekatan turun padang akan terus menjadi keutamaan sepanjang tempoh berkempen bagi memberi peluang bertemu seramai mungkin pengundi.

“Alhamdulillah, hari ini saya mula bergerak seawal 7.30 pagi dengan walkabout di Warung Roti Prata sebelum bertemu masyarakat Cina di restoran dan sekitar Taman Aik Joo.

“Selepas ini kita akan fokus kepada kempen rumah ke rumah. Jadual hari ini memang padat dari awal pagi sehingga kira-kira jam 10 malam,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sesi walkabout di Pilah, hari ini.

Noorzunita ketika ditemui oleh MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas sambutan yang diterima, Noorzunita berkata, beliau gembira apabila ramai pengundi, khususnya masyarakat Cina, teruja untuk bertemu, selain mengambil peluang menyampaikan pelbagai pandangan, aduan dan harapan.

Katanya, hubungan baik itu dibina hasil usaha menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum sepanjang beliau menjadi wakil rakyat sebelum ini.

“Di Pilah ini kita hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Sepanjang saya menjadi wakil rakyat sebelum ini, kita tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum.

“Bila kita berjumpa semula hari ini, suasananya seperti sebuah keluarga. Itu yang saya rasa paling menggembirakan kerana hubungan itu sudah lama terjalin,” katanya lagi.

Menurut Noorzunita, pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang disampaikan menerusi wakil rakyat sebelum ini turut membantu mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata, program untuk warga emas antara yang paling mendapat sambutan kerana mewujudkan hubungan lebih rapat antara wakil rakyat dengan komuniti.

“Kalau kita lihat tadi, ramai warga emas khususnya ibu-ibu begitu teruja apabila bertemu saya. Inisiatif kerajaan negeri untuk warga emas memberi ruang kepada kami mendekati masyarakat dengan lebih dekat.

“Begitu juga bantuan pendidikan kepada anak-anak serta pelbagai inisiatif untuk golongan muda yang disampaikan melalui wakil rakyat. Semua itu mengukuhkan lagi hubungan kami dengan rakyat di kawasan ini,” ujarnya.

Noorzunita yang juga penyandang kerusi DUN Pilah berkata, masih banyak perancangan yang ingin dilaksanakan di kawasan itu dan berharap diberi peluang sekali lagi untuk meneruskan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, Noorzunita memilih untuk tidak terlalu memikirkan saingannya dengan calon Barisan Nasional (BN), S Leza Md Yasin.

Sebaliknya, beliau mahu memberi tumpuan penuh kepada usaha mempertahankan kerusi itu.

Beliau berkata, keutamaannya ketika ini adalah memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar sehingga hari pengundian bagi meraih sokongan rakyat.

“Tak mengapa, kita jalan terus. Saya sebagai calon Pakatan Harapan akan terus berjuang untuk memenangkan PH di Kuala Pilah, khususnya DUN Pilah.

“Insya-Allah, kita terus bekerja dan bertemu rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika diminta mengulas pertandingan satu lawan satu di kerusi berkenaan.

Menurut Noorzunita, beliau lebih berminat mengetengahkan usaha dan komitmen PH kepada penduduk di Pilah.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen, beliau akan meneruskan pendekatan turun padang bagi memastikan setiap peluang digunakan untuk mendengar sendiri suara rakyat.

Beliau turut menyifatkan pilihan raya sebagai medan untuk menawarkan khidmat dan rekod kepada pengundi, bukannya sekadar melihat kepada siapa yang menjadi pencabar.

“Tempoh sebelum ini agak singkat dan masih banyak perkara yang ingin saya laksanakan. Saya berharap rakyat Pilah terus memberi kepercayaan dan mandat kepada saya untuk meneruskan khidmat kepada mereka,” jelas beliau.

Noorzunita memperoleh 6,222 undi menewaskan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha yang mendapat 5,143 undi pada PRN sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast