SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad mengakui cabaran terbesar dihadapinya ketika memperkenalkan diri kepada pengundi selepas mengambil alih kerusi yang sekian lama diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Nor Azman yakin pengalaman lebih tujuh tahun bersama Aminuddin menjadi kelebihan untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan khidmat kepada rakyat di Sikamat.
“Memang ada waktunya sukar kerana ada pengundi yang tidak mengenali saya. Selama ini saya lebih banyak berada di belakang tabir membantu Datuk Seri Aminuddin,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan walkabout di seluruh kawasan Rumah Rakyat Sikamat 2 di sini pagi tadi.
Untuk rekod, Nor Azman pernah berkhidmat sebagai penyelidik sejak 2019 kemudian dilantik sebagai Setiausaha Akhbar sebelum memegang jawatan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Nor Azman juga tidak menafikan, kuliah agama menjadi antara platform yang memudahkan beliau dikenali dalam kalangan rakyat Sikamat.
“Ada juga yang mengenali saya kerana sering bersama Menteri Besar dalam program-program masyarakat. Malah ada juga penduduk di sini pernah mengikuti kuliah agama yang saya sampaikan di kawasan ini. Itu menjadi kelebihan yang saya ada,” katanya.

Selain itu beliau bukanlah individu asing di kawasan berkenaan kerana sudah menetap di Sikamat lebih 18 tahun.
“Malah saya pernah berkhidmat sebagai imam di Masjid Jamek Ampangan yang turut berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat sebelum ini,” katanya.
Katanya, latar belakang pendidikan agama turut membentuk pendekatan beliau dalam berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah selepas memperoleh Sijil Tinggi Agama Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















