Foto: FB Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Jentera Pakatan Harapan (PH) diingatkan supaya memastikan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini berpaksikan kepada isu yang benar-benar dekat di hati rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan isi rumah, kemudahan asas, pendidikan anak-anak serta akses kepada perkhidmatan kesihatan adalah antara perkara yang perlu terus menjadi fokus jentera PH.

Tegas beliau, rakyat mahu melihat kepada penyelesaian, bukan sekadar polemik politik.

“Mereka mengharapkan wakil rakyat yang sentiasa turun padang, mendengar sendiri denyut nadi masyarakat dan berusaha membawa penyelesaian yang memberi manfaat kepada kehidupan seharian,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, Mustapha yang juga Pengerusi PH Sabah menyantuni 13 Jentera Daerah Mengundi (JDM) dalam DUN Seri Menanti di Bilik Gerakan JDM Kampung Ibol, Kuala Pilah, Negeri Sembilan malam semalam.

Sementara itu, beliau berkata, pertemuan dengan JDM itu amat penting untuk menyelaras gerak kerja di peringkat akar umbi, memperkemas strategi kempen serta memastikan setiap jentera bergerak dengan mesej yang sama dan matlamat yang jelas.

“Terima kasih kepada seluruh kepimpinan dan anggota JDM yang hadir serta terus menunjukkan komitmen dan semangat yang tinggi.

“Insya-Allah, dengan kesatuan, disiplin dan kerja berpasukan, kita akan terus mendekati rakyat dari rumah ke rumah, menyampaikan fakta, mendengar setiap pandangan dan membawa aspirasi mereka ke hadapan,” katanya.

Tambah beliau, perjuangan PH di Negeri Sembilan bukan hanya untuk memenangi pilihan raya tetapi untuk memastikan setiap keluarga menikmati kehidupan yang lebih baik, lebih sejahtera dan masa depan yang lebih terjamin. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast