Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan 10 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan yang dijangka berterusan sehingga pukul 5 petang ini.

METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terjejas melibatkan Perlis, Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak selain Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.

Di Kedah, kawasan yang dijangka mengalami cuaca buruk ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap, manakala seluruh negeri Perlis turut berada di bawah amaran berkenaan.

Bagi Perak pula, amaran melibatkan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Di Pahang, kawasan terjejas ialah Cameron Highlands, Raub, Bentong dan Rompin, sementara di Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat serta Sepang.

Negeri Sembilan turut menerima amaran melibatkan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.

Di Johor, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir ialah Tangkak, Segamat dan Muar.

Sementara itu, di Sabah, amaran dikeluarkan bagi kawasan Pedalaman melibatkan Kuala Penyu serta Tawau dan Semporna di bahagian Tawau.

Di Sarawak pula, kawasan terlibat ialah Kuching, Samarahan, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song) serta Miri meliputi Subis, Telang Usan dan Miri.

Menurut METMalaysia, amaran ribut petir yang dikeluarkan adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast