SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mendakwa UMNO kini sanggup bergantung kepada parti lawan demi meraih kuasa, susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Kapar yang menyokong kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Setiausahanya, Ghafurullah Ismail, berkata kenyataan itu memperlihatkan UMNO tidak lagi mampu berdiri atas kekuatan sendiri walaupun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, UMNO sebaliknya dilihat lebih cenderung menjalin kerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi lawan politik mereka demi kepentingan pilihan raya.
“Ini menunjukkan bagaimana parti yang kononnya keramat bangsa ini sanggup ‘cium tapak kaki’ lawan semata-mata untuk mendapatkan kuasa, sedangkan dalam Kerajaan Perpaduan mereka dilayan seperti rakan kongsi yang berharga,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Ghafurullah turut mengingatkan Ketua Bahagian UMNO Kapar, Datuk Mohd Roslee Abd Hamid walaupun tewas kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun dia tetap diberi tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Sementa dan berkhidmat dengan kerajaan negeri.
Beliau juga menyifatkan dakwaan Ketua Pemuda UMNO Kapar, Afifi Aris bahawa kerjasama BN-Pas mampu membantu UMNO merampas semula Parlimen Kapar dan kerusi DUN di bawahnya sebagai tidak berpijak di bumi nyata.
Katanya, dia sepatutnya menyedari Parlimen Kapar dan DUN Sementa dimenangi Pas pada PRU15 dan adakah parti sanggup memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi yang dimenanginya dengan majoriti selesa.
“Bagi saya, Affifi hanya bermimpi di siang hari dan UMNO akhirnya akan menjadi bidak catur Pas akibat sikap pemimpinnya yang terlalu tamak kuasa,” katanya.
Kenyataan Ghafurullah itu dibuat sebagai reaksi terhadap kenyataan Affifi yang menyokong kerjasama antara BN dan Pas serta mendakwa gabungan berkenaan mampu mengembalikan penguasaan UMNO di Parlimen Kapar dan kerusi DUN di bawahnya pada pilihan raya akan datang.
Isu kerjasama antara BN dan Pas kembali menjadi perhatian selepas kedua-dua parti mencapai persefahaman politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette
















