KUALA LUMPUR – Anggota bomba membantu mengangkat seorang wanita yang beratnya 200 kilogram(kg) dari tingkat enam untuk dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, wanita berkenan memerlukan bantuan untuk dipindahkan dari kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai Dalam untuk dimasukkan ke dalam ambulans.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Kumpur menerima panggilan kecemasan dari NG999 untuk mengangkat wanita tersebut pada jam 4.39 petang.
Susulan itu katanya, seramai enam anggota bersama pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai bersama jentera telah dikejarkan ke lokasi terbabit.
“Pasukan bomba telah menjalankan operasi mengangkat dan memindahkan mangsa menggunakan pengusung melalui lif sebelum mangsa berjaya dibawa ke ambulans dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, wanita itu kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan untuk tindakan dan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















