SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak memilih untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu yang didakwa cuba membakar billboard kempennya awal pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian itu hanya diketahuinya selepas menerima maklumat menerusi aplikasi WhatsApp sejurus selesai menunaikan solat Subuh.
Menurutnya, arahan segera diberikan kepada jentera supaya tidak mengambil sebarang tindakan balas kerana mahu memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berlangsung dalam suasana matang dan harmoni.
“Bagi saya, ini satu tindakan yang tidak bagus, terutama ketika musim pilihan raya. Saya mahu berpolitik secara matang dan saya juga menasihatkan semua pihak supaya perkara seperti ini tidak berulang lagi.
“Saya tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana individu,” katanya ketika ditemui pada hari kedua berkempen di sini, hari ini.
Ahmad Faez yang merupakan calon nombor satu berkata, beliau mengenali bapa kepada individu yang dikaitkan dengan kejadian itu dan telah menghubunginya.
“Beliau secara terus terang telah memohon maaf kepada saya dan saya kata tidak mengapa, tiada apa-apa,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Ahmad Faez berkata, beliau meneruskan program ziarah rumah ke rumah di kawasan LBJ yang disifatkannya sebagai antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Katanya, sepanjang program itu beliau sempat mengunjungi kira-kira 130 hingga 132 rumah dengan hanya seorang penduduk menolak kehadirannya.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat baik. Namun ini baru permulaan. Saya sudah beritahu jentera supaya tidak terlalu selesa dan terus bekerja keras sehingga hari mengundi.
“Insya-Allah pada 1 Ogos nanti, saya yakin pengundi di DUN Labu mampu menilai siapa pemimpin terbaik untuk memimpin kawasan ini,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Faez mendedahkan billboard kempen miliknya cuba dibakar individu tidak dikenali dalam kejadian awal pagi ini.
Menurut beliau, kejadian itu disedari selepas menerima panggilan telefon daripada rakannya kira-kira pukul 4.30 pagi yang memaklumkan mengenai cubaan membakar billboard berkenaan. – MalaysiaGazette
















