SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak mendakwa billboard kempen miliknya cuba dibakar individu tidak dikenali dalam kejadian awal pagi ini.
Menurut beliau, kejadian itu disedari selepas menerima panggilan telefon daripada rakannya kira-kira pukul 4.30 pagi yang memaklumkan mengenai cubaan membakar billboard berkenaan.
Ahmad Faez berkata, berdasarkan maklumat saksi, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 3.30 pagi apabila seorang lelaki dilihat menghidupkan api dan cuba membakar billboard calon PH di kawasan terbabit.
“Dalam kejadian itu, saksi turut memaklumkan lelaki berkenaan mengaku mahu membakar billboard saya,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, kejadian itu amat dikesali memandangkan tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru memasuki hari kedua, manakala bahan kempen berkenaan baharu sahaja dipasang oleh jentera.
“Belum sampai beberapa jam dipasang dengan kos wang, masa dan tenaga, sudah ada cubaan untuk merosakkan bahan kempen saya,” katanya.

Menurutnya, tindakan sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana budaya politik yang matang dan sihat perlu menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi negara kini berada pada tahun 2026.
“Tindakan sebegini merosakkan keharmonian, mencemarkan demokrasi serta melanggar undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmad Faez berkata, beliau tidak berhasrat memanjangkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana mahu memberi peluang kepada pihak terlibat serta terus memberi tumpuan kepada baki 12 hari tempoh berkempen. – MalaysiaGazette
















