Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

KUALA LUMPUR – Enam penama Orang Asli yang masih mengemukakan tuntutan berhubung pertikaian tanah di Kampung Cot, Maran, Pahang bukan berasal dari kampung tersebut sebaliknya berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan; dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, penempatan Orang Asli yang terlibat dalam isu Kampung Cot, adalah sebuah kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA).

Berdasarkan rekod JAKOA, terdapat 12 penama Orang Asli yang mengusahakan tanah di kawasan berkenaan mengemukakan tuntutan kepada jabatan tersebut dan dalam masa yang sama tanah berkenaan telah dipohon oleh sebuah syarikat yang mana permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Ke-32/2015 bertarikh 4 November 2015.

Bagi menangani isu yang timbul, JAKOA mengadakan beberapa siri perbincangan bersama penama Orang Asli yang terlibat bagi mencari jalan penyelesaian terhadap pertindihan tuntutan antara mereka dengan syarikat yang telah menerima kelulusan tersebut.

Menurut beliau, hasil perbincangan awal mendapati hanya enam orang penama masih meneruskan tuntutan melalui JAKOA.

“Dalam sesi perbincangan tersebut, penama terbabit mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat mereka. Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan berdasarkan rekod dan fakta yang ada.

“Rekod juga menunjukkan mereka telah mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan seluas kira-kira 30 ekar tanpa kebenaran yang sah,” katanya.

Menurut Syed Ibrahim, Kerajaan Negeri Pahang tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta Pejabat Tanah dan Galian, JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa isu ini telah diberikan perhatian sejak awal melalui pelbagai siri libat urus dan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan,

“Setiap tindakan yang diambil adalah berpandukan kepada peruntukan undang-undang, fakta serta prinsip keadilan, di samping memastikan kebajikan masyarakat Orang Asli terus dipelihara tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri,” katanya lagi.

Beliau juga menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.

Sebaliknya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang dan semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast