Saifuddin Shafi Muhammad

SEREMBAN – Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh yang berubah berhubung peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka sambil menyifatkan kenyataan terbaharu pemimpin itu sebagai retorik politik.

Saifuddin berkata, Dr Akmal sebelum ini menjelaskan, peletakan jawatannya tidak dapat diteruskan kerana tidak diperkenankan Yang Dipertua Negeri (TYT) Melaka namun kini menyatakan kesediaan mengemukakan semula surat peletakan jawatan itu sekiranya pemimpin DAP, Nga Kor Ming turut berbuat demikian.

“Hari tu kata sebab TYT tak bagi, lepas ini TYT bagi ke Dr Akmal Salleh?” soalnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh.

Beliau turut menyindir Dr Akmal dengan menyifatkan Ketua Pemuda UMNO itu sebagai ‘produk Pemuda UMNO paling lekeh pernah dilahirkan’.

Saifuddin berkata, kenyataan terbaharu Dr Akmal itu menimbulkan persoalan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diadakan pada bila-bila masa.

Beliau turut hairan apabila Dr Akmal boleh berubah dalam tempoh seminggu sahaja dengan kali ini tidak menggunakan TYT sebagai alasan.

“PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka juga bila-bila masa sahaja lagi. Perlu ke hendak memperbodohkan rakyat demi kenyataan populis yang langsung tak ada faedah,” katanya.

Semalam, Dr Akmal berkata, beliau bersedia mengemukakan semula surat peletakan jawatan sebagai Exco Melaka selepas menerima cabaran bekas pemimpin DAP, Tan Sri Teng Chang Khim.

Bagaimanapun, beliau meletakkan syarat bahawa Kor Ming turut berbuat demikian sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Kata Dr Akmal, beliau akan mengemukakan semula peletakan jawatan itu jika syarat berkenaan dipenuhi, sambil menegaskan beliau akan mengotakan janjinya.

Sebelum ini, Dr Akmal memaklumkan peletakan jawatannya sebagai Exco Melaka tidak dapat diteruskan kerana menurutnya ia tidak diperkenankan TYT Melaka walaupun sebelum itu beliau berulang kali menyatakan kesediaan melepaskan jawatan berkenaan.

Kenyataan terbaharu itu mencetuskan pelbagai reaksi apabila dilihat berbeza daripada penjelasan yang diberikannya sebelum ini mengenai kedudukan jawatannya dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast