KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengakui DAP mempunyai alasan untuk berasa yakin dengan kedudukan parti itu di Negeri Sembilan sehingga menyifatkan MCA sebagai pihak yang paling rugi dalam perkembangan politik negeri berkenaan.
Beliau berkata, MCA juga menerima hakikat parti itu perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula sokongan pengundi selepas gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan sejak 2013.
Atas sebab itulah MCA memutuskan untuk tidak bertanding di tiga kerusi dibuat berdasarkan penilaian parti selepas kekalahan besar di kawasan berkenaan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Tiada gunanya berpura-pura mengenai perkara itu buat masa ini. Namun, bagi tujuh kerusi yang kami tandingi, kami percaya masih mempunyai peluang untuk berjuang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ka Siong berkata, MCA memahami bahawa tiada pengundi yang berhutang undi kepada parti itu, sebaliknya calon perlu membuktikan kemampuan mereka untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat.
“Selepas 13 tahun tanpa seorang pun wakil MCA dalam Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, kami perlu kekal merendah diri, bekerja lebih keras dan meyakinkan pengundi seorang demi seorang bahawa kami layak diberi peluang sekali lagi untuk berkhidmat,” katanya.
Menurut beliau, MCA pada asasnya sedang memulakan semula perjuangannya di Negeri Sembilan dan keadaan itu menuntut parti tersebut tidak bersikap angkuh atau mengambil mudah sokongan mana-mana pengundi.
Katanya, apa yang boleh dilakukan MCA adalah membuktikan calon-calonnya mampu bekerja keras, bersuara untuk rakyat dan menawarkan alternatif yang berwibawa kepada wakil DAP yang telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana sering mengingatkan mengenai kelemahan MCA.
“Saya benar-benar berterima kasih kepada Anthony Loke kerana sentiasa mengingatkan semua pihak mengenai kelemahan MCA. Kritikan menjadikan kami lebih merendah diri,” katanya sambil menambah peringatan itu mengingatkan MCA supaya tidak mengambil mudah mana-mana pilihan raya.
MCA, tambah beliau menghargai kepercayaan pengundi Johor yang memberi peluang kepada parti itu memenangi semula tiga kerusi DUN pada pilihan raya negeri baru-baru ini.
Beliau berharap pengundi Negeri Sembilan turut mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada MCA di beberapa kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. – MalaysiaGazette
















