SEREMBAN – Kerajaan stabil, bersih dan berintegriti menjadi teras utama Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan kerana faktor itu terbukti berjaya meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kestabilan pentadbiran sepanjang lapan tahun lalu telah membolehkan Negeri Sembilan merekodkan kemasukan pelaburan baharu sekali gus meningkatkan hasil negeri.
Menurut beliau, keyakinan pelabur merupakan aset penting dalam memastikan peluang pekerjaan berkualiti terus diwujudkan.
“Kita melihat apabila kerajaan ditadbir dengan penuh integriti, negeri menerima banyak pelaburan baharu.
“Hasil negeri bertambah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berkembang dan peluang pekerjaan turut meningkat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto PH Negeri Sembilan, di sini, malam ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pewujudan kira-kira 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi menerusi kemasukan pelaburan baharu.
Aminuddin berkata, beliau turut menerima maklum balas positif daripada pelabur yang berharap pentadbiran sedia ada dapat diteruskan bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan.
“Mereka melihat kestabilan yang ada sekarang memberi keyakinan kepada pelaburan jangka panjang.
“Itulah antara faktor yang mendorong mereka terus memilih Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















