KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tanpa sebarang identiti pengenalan diri ditemui mati dengan kesan tikaman di kawasan Bandar Mahkota Cheras, Kajang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan penemuan lelaki yang tidak sedarkan diri itu kira-kira jam 8.30 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai polis kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui tanpa pengenalan diri itu telah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati, terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat senjata tajam pada tubuh mangsa.
“Bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Kajang mendapati, punca kematian akibat pendarahan di bahagian abdomen yang berpunca daripada kecederaan tikaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mengenal pasti identiti mangsa, mengesan saksi-saksi serta individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















