KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran dekat sini yang berdepan krisis pertikaian tanah adat untuk berpindah dan tinggal di tanah miliknya di Kuala Wau, Maran.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Kesultanan Pahang, baginda menzahirkan rasa simpati, dukacita serta prihatin terhadap isu terbabit dan memahami kegusaran serta kesulitan yang sedang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan.
“Paduka Baginda berpendapat masyarakat Orang Kita (Orang Asli) bukan sekadar sebahagian daripada rakyat Negeri Pahang bahkan sentiasa mempunyai tempat yang amat istimewa di hati Paduka Baginda.
“Menerusi kajian tesis yang sedang disiapkan oleh Paduka Baginda ketika ini, peranan Orang Kita adalah mustahak di dalam kemajuan negeri sejak dahulu lagi.
“Justeru itu, kesejahteraan dan masa depan mereka sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian oleh Paduka Baginda,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Tunku Azizah turut menegaskan, mereka tidak perlu bimbang mengenai masa depan mereka.
Ini kerana, baginda akan memastikan masyarakat Orang Kita yang menetap di situ akan terus mempunyai tempat tinggal dan tidak akan dipinggirkan meskipun pada masa hadapan tanah miliknya di Kuala Wau itu dibangunkan.
“Paduka Baginda juga menegaskan bahawa pelawaan ini tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran sahaja. Mana-mana masyarakat Orang Kita yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga adalah dipersilakan untuk tinggal di tanah milik Paduka Baginda di Kuala Wau, Maran setelah mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan mengikut peruntukan undang undang yang berkuatkuasa,” jelasnya lagi.
Pelawaan itu diharap dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan.
Pada masa yang sama, Tunku Azizah turut menyeru agar semua pihak yang terlibat mengutamakan semangat permuafakatan, saling menghormati dan berunding dengan penuh hikmah dalam mencari jalan penyelesaian yang adil, berhemah serta memelihara kepentingan semua pihak.
Sebagai rekod, isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.
Pertikaian itu dipercayai membabitkan tanah diusahakan penduduk Orang Asli namun kawasan berkenaan dilaporkan mempunyai hak milik berdaftar atas nama sebuah syarikat. – MalaysiaGazette
















