Kompleks Mahkamah Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Tindakan menjadi ‘keldai akaun’ kepada sindiket penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud membawa padah kepada seorang wanita apabila dikenakan denda RM1,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas tertuduh, Kamiliaelina Kamaruzaman, 25, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh yang tidak bekerja kemudian membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menolong mengalihkan harta milik seorang wanita berjumlah RM1,000 ke dalam akaun Touch ’n Go miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Selasih 35, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang di sini pada 30 Januari 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa pada 28 Januari 2025 melihat iklan tawaran kerja dari rumah menerusi Facebook sebelum dihubungkan ke aplikasi Telegram yang menggunakan nama Horizon Media dan Handmade MY.

Mangsa kemudian dimaklumkan oleh pentadbir kumpulan Telegram berkenaan bahawa sementara menunggu tugasan kerja, dia perlu melaksanakan tugasan membuat penilaian hotel dengan modal RM1,000 yang dijanjikan pulangan RM1,400.

Mangsa membuat pindahan wang RM1,000 ke akaun Touch ’n Go milik tertuduh sebelum diminta membuat beberapa lagi pembayaran berjumlah RM4,800 ke akaun individu lain bagi tugasan berikutnya.

Bagaimanapun, selepas diminta membuat bayaran tambahan RM13,800 bagi mendapatkan semula modal dan keuntungan yang dijanjikan, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu dan tidak meneruskan pembayaran.

Mangsa mengalami kerugian RM5,800 yang merupakan wang simpanannya kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Nevina, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast