SIK – Seorang pemandu van maut dalam kemalangan tiga kenderaan termasuk sebuah lori treler dan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Batu 34 Jalan Kuala Sin, di sini hari ini.
Menurut maklumat awal daripada orang awam, nahas yang berlaku kira-kira 8 pagi itu dipercayai berpunca apabila lori treler tersebut terbabas lalu menghempap van Toyota Hiace dipandu mangsa, sebelum sebuah Nissan X-Trail terbabas dan melanggar lori berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Azhar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 8.20 pagi tadi.
“Terdapat dua mangsa di dalam Nissan X-Trail iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa yang mengalami kecederaan ringan. Kedua-dua mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu lori treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Salah seorang mangsa dalam Nissan X-Trail ialah Datin Norasima Md. Nowar, isteri kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantik, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.
Tambah Azhar, pemandu yang didapati tersepit di dalam van terbabit dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat khas dengan operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Briged Sukarelawan Yayasan Jariah Malaysia.
“Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















